Muhammad Haris.
Muhammad Haris.

Kuala Lumpur: Pendakwah bebas yang juga selebriti, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau dikenali sebagai PU Riz menekankan betapa bahayanya perbuatan mengumpat dan fitnah di media sosial.

Riz, 26, berkata, orang ramai yang suka bercakap dan mengulas sesuatu isu membabitkan individu lain perlu lebih berhati-hati dalam kandungan yang disampaikan.

"Sejak akhir-akhir ini menjadi kebiasaan di media sosial apa yang akan kita jumpa orang bercakap mengenai isu orang lain. Dia akan berikan pandangan seterusnya memberikan sepatah dua kata. Kadang-kadang betul, kadang-kadang tak.

"Tidak ada apa saya nak rungkaikan, tegur. Cuma satu perkara saya nak ingatkan buat diri saya yang hina, pada mereka yang selalu kandungannya berkait dengan orang lain hati-hati.

"Kerana pertama sekali ada perkara yang kita perkatakan menyebabkan kebinasaan pada diri. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, seorang hamba apabila dia bercakap mengenai satu kalimah, tapi dia tak menyedari kalimah itu kalimah tak baik. Disebabkan kalimah itu dia dicampak ke neraka. Hanya satu kalimah saja. Dengan satu kalimah dia bercakap mengenai satu kalimah berkaitan apa-apa, dia tak tahu kesan. Namun, disebabkan kalimah itu baik maka Allah SWT mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT," katanya.

Riz menerusi hantaran video dimuat naik di aplikasi TikTok berkata, sebaiknya jangan terlalu mudah membuat spekulasi dan kesimpulan terhadap orang lain.

"Kita jangan mudah nak komen mengenai orang yang kita tak sedar hari ini kita bercakap mengenai orang. Contoh dia ambil, dia mencuri. Walaupun ia betul, maka itu sudah menjadi umpat. Tidak ada mengumpat benda yang tak betul. Apabila bercakap benda tak betul mengenai seseorang itu sudah fitnah.

"Jangan kita terlalu mudah bercakap dan berbicara mengenai orang lalu cepat membuat spekulasi dan apa-apa konklusi terhadap manusia lain. Sesungguhnya Allah SWT membahagi-bahagikan nikmat-nikmat Allah pada hambanya berbeza-beza. Jaga diri kita baik-baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 12:15 PM