FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siri Kitab Qalbun Salim

ALLAH SWT menjadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian dengan kurniaan pelbagai nikmat pancaindera terutama nikmat akal untuk berfikir dan merenung sesuatu. Selain daripada itu, salah satu nikmat dikurniakan adalah lidah yang dengannya kita mampu untuk berkata-kata, membaca atau menyebut dan merasai makanan sebagai salah satu nikmat di atas dunia ini.

Bagaimanapun, nikmat lidah ini juga perlulah dijaga dengan sebaiknya supaya kita tidak melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT sekali gus mengganggu perjalanan seorang hamba kepada pencipta-Nya.

Antara kebaikan pengurniaan lidah adalah mencari harta dengan melakukan akad seperti akad jual beli, sewa dan lain-lain. Paling jelas nikmat lidah membolehkan seseorang hamba membaca al-Quran dan membaca hadis Rasulullah SAW.

Kita juga sangat digalakkan mengingati Allah SWT dengan kaedah membasahkan lidah dengan zikrullah serta selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semua hamba harus mensyukuri nikmat lidah dengan menjaganya daripada sesuatu yang bukan menjadi tujuan lidah dijadikan seperti mengeluarkan kata keji, hinaan, dusta dan mengumpat sebaliknya memperbanyakkan kebaikan dengan zikrullah, selawat dan nasihat.

Saidina Abdullah Al Mubarak berkata: "Jagalah lidahmu kerana sesungguhnya lidah sangat cepat membunuh seseorang. Lidah adalah utusan hati yang menunjukkan akal seseorang." Kitab Qalbun Salim karangan Sheikh Abdul Qadir Abdul Muthalib al-Mandili)

Allah SWT berfirman dengan maksud: "Dan pada hari Kiamat, engkau akan melihat orang yang berdusta terhadap Allah SWT dan yang menyatakan kesedihan itu muka mereka hitam legam, bukankah dalam neraka Jahanam disediakan tempat tinggal untuk orang yang sombong dan takbur? (Surah Az-Zumar, ayat 60)

Dalam menyatakan kepentingan menjaga lidah ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Hendaklah kamu bercakap benar (jujur) kerana sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang itu sentiasa bercakap benar dan berusaha untuk selalu jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah sifat dusta kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada keburukan dan keburukan itu membawa kepada neraka. Seseorang itu sentiasa berdusta dan berusaha untuk selalu berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis Riwayat Muslim)

Kita juga harus menghalusi pesan Rasulullah SAW kepada Saidina Mu'az. Saidina Mu'az bin Jabal berkata: "Wahai Rasulullah, pesankanlah sesuatu kepadaku, 'Rasulullah SAW lalu mengeluarkan lidahnya yang mulia dan bersabda: "Kamu hendaklah menahan ini.."

Ia bermaksud: "Kamu hendaklah mengawal lidahmu yang seperti lidahku ini daripada berkata sesuatu yang dilarang oleh syarak.

Dapat kita fahami supaya mengawal lidah adalah salah satu kaedah untuk mencapai keredaan Allah SWT daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia yang akan mengundang kemurkaan Allah sekali gus akan diseksa di akhirat kelak.

Perbanyakkanlah zikrullah kerana zikir itu mengingatkan kepada manusia tentang kebesaran Allah SWT dan Allah yang berhak terhadap segala sesuatu.

Jumaat: Berhenti sebelum kenyang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 8:12 AM