PU Riz dan isteri, Neelofa
PU Riz dan isteri, Neelofa
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pendakwah bebas yang juga pelakon, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 28, menyifatkan pelantikan isterinya yang juga selebriti terkenal, Neelofa sebagai duta jenama antarabangsa bagi kereta sorong bayi dan kerusi kereta kanak-kanak sebagai rezeki dan berkat taat dengan suami.

Riz berkata, pelantikan isterinya itu juga menjadi penanda aras bagi wanita muslimah yang tampil berhijab atau berniqab bukan lagi alasan bagi segelintir pihak untuk tidak bekerjasama terutama apabila membabitkan jenama antarabangsa.

"Alhamdulillah, itu rezeki dia dan berkat taat pada suami. Saya percaya, jika kita tetapkan hati dan istiqamah dalam melakukan sesuatu perkara, insya-Allah, segalanya dipermudahkan Allah SWT.

"Sebagai suami, sudah tentu saya bersyukur dan gembira atas apa juga yang diterima isteri. Itu semua rezeki Allah.

"Secara peribadi, saya sentiasa menyokong apa saja perkara yang membawa kepada kebaikan bukan saja untuk dia dan keluarga tapi juga secara umum. Secara tak langsung, pelantikan isteri sebagai duta adalah bukti penerimaan orang luar terhadap tuntutan agama dan budaya kita," katanya.

Menurutnya, dia sentiasa mengingatkan isterinya agar patuh syariah dalam apa juga perkara dibuat termasuk dalam soal penampilan.

Terdahulu, Neelofa yang juga ibu kepada dua cahaya mata dilantik menjadi duta jenama itu pada satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Neelofa, jenama yang berasal dari Belanda itu mula 'melamar' dirinya sejak awal tahun ini.

"Kalau ditanya mengenai lamaran menjadi duta ini, saya rasa awal tahun ini. Sebelum ini, saya memang ada bekerjasama dengan beberapa jenama membabitkan barangan untuk anak. Jadi, mereka bertanya pelanggan sebelum ini dan mereka dapat maklum balas baik. Jadi, mereka datang berjumpa saya," katanya.

Riz dan Neelofa mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 1, dan Abdullah Abbas yang kini berusia lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 12:42 PM