FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Jika bersama kawan duduk berbual, bersembang, tidak kira di mana, mengata orang di belakang sama ada secara terang atau kias memang rare.

Betullah, takkan sesama kita nak bercerita mengenai masalah keluarga pula, itu membuka aib namanya. Jika bergosip, mengumpat atau 'membawang' mengenai orang lain, terbuka minda kita sambil beri nasi tambah sikit-sikit hingga makin berguni berjela-jela dan tak sedar hingga ke petang jadinya.

Tidak kira Dollah atau Senah, kita semuanya sama, sudah semestinya perangai dan tingkah laku manusia begitu.

Penulis tidak menuduh orang lain, sama-sama baiki diri kita. Kita 'betulkan yang biasa dan biasakan yang betul'. Cantik hashtag ini. Mungkin pening pembaca memikirkan istilah baharu ini. Istilah ini penulis dapat daripada tokoh berwibawa dan pucuk pimpinan tertinggi sebuah badan penguat kuasa terulung di Malaysia. Menerusi penjenamaan semula organisasinya dan kata-kata penuh semangat dan sangat bertepatan dengan dunia yang penuh pancaroba serta maju ke depan pada masa kini. Mengumpat adalah antara perbuatan tidak bermoral apabila seseorang memberitahu sesuatu keburukan atau aib kepada orang lain tanpa pengetahuan orang yang dimaksudkan itu.

Istilah 'membawang' sudah biasa kita dengar. Semua dah sedia faham apa itu 'membawang'.

Ustaz Syamsul Debat cakap jangan membawang, bawang mahal. Guna istilah 'membangkai'. Memang kenalah tu, membangkai ibarat makan daging saudara sendiri. Membawang sama dengan mengumpat. Membawang dalam bahasa Inggeris adalah gossip. Istilah membawang ini wujud apabila Mak cik Kiah dan Senah mengumpat sambil merewang di majlis kenduri. Mendapatlah nama kumpulan tak berdaftar dengan gelaran 'mak cik bawang'.

Sama ada sedar atau tidak, mengumpat itu adalah perkara pernah dilakukan semua orang. Pernahkah anda berasa diperkata di belakang oleh kawan sendiri? Pernahkah pula anda sendiri mengatakan sesuatu yang buruk mengenai kawan anda tanpa pengetahuannya? Ia adalah mengata di belakang orang lain. Jika kita ingat bagaimana perasaannya apabila kita diperkata di belakang oleh kawan sendiri, kita juga tidak patut berbuat demikian.

Mari kita selami kisah ini untuk mengetahui apa yang mungkin boleh berlaku akibat perkara ini.

Sejak beberapa hari lalu, Dollah berasa rakannya tidak mahu bercakap dengannya. Dollah cuba dekati mereka, tetapi menerima layanan sama. Perkara ini berlanjutan sehingga beberapa minggu dan ini membuatkan dia sedih dan keliru. Akhirnya, seorang rakannya, Mail memberitahu kawan mereka bernama Bedul menceritakan sesuatu tidak baik mengenai dirinya. Ini menyebabkan kemarahan kepada kawan lain terhadapnya, lantas mereka membuat keputusan memulaukannya. Dollah sungguh sedih, marah dan rendah diri, tambahan pula, perkara yang diperkatakan itu tidak benar. Beliau rasa tidak bersemangat bekerja. Disebabkan itu, pekerjaan terjejas dan dia tidak mendapat perhatian pihak atasan untuk kenaikan pangkat dan bonus tahunan. Semua orang sedih berdepan situasi seperti itu.

Tetapi, bagaimana kita hendak menangani masalah ini yang boleh memberi kesan berbeza kepada kita. Jika pembaca menanganinya dengan negatif, anda mungkin akan berakhir dengan situasi sama seperti Dollah. Tetapi, jika kita bertindak dengan lebih bijak, anda boleh memenangi hati kawan anda semula dan kekal cemerlang dalam pekerjaan.

Beberapa tip menangani masalah apabila mengetahui ada orang mengata di belakang kita:

l Anda boleh buat keputusan terus membaiki persahabatan dengan individu itu atau tidak. Sekiranya anda tidak mahu meneruskan persahabatan dengan individu itu, anda hanya perlu diam dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Jika anda ingin teruskan persahabatan dengan rakan terbabit, ada baiknya bersemuka dan berbincang secara privasi dan bersifat jujur. Elak menuduh rakan anda kerana ini boleh mengundang kemarahan dan menyukarkan anda berbincang.

Jadi individu yang lebih baik. Bak kata pepatah things happened for a reason atau 'sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin baik untuk muhasabah diri dan memperbaiki diri supaya kita lebih disenangi oleh rakan.

l Jika didengari umpatan atau mengata itu ada sedikit kebenarannya dan mungkin ditokok tambah oleh mereka, kita perlu perbaiki diri kita sendiri. Jadikan perbuatan jahat dibalas baik dan akhirnya terbukti kita memang seorang yang baik dan akan menjadi pendinding kepada kita di atas semua kebaikan dilalukan.l Baiki diri kita sendiri dahulu dan jangan terbabit mengumpat atau mengata orang di belakang, mungkin kifarah kita mengata orang dan orang akan mengata atau mengumpat kita pula.l Bersangka baik kepada semua orang, insya-Allah aura kita baik maka yang datang semuanya aura baik-baik juga nanti. Memandangkan betapa buruk dan hina mengumpat, ia disamakan seperti makan daging saudara seagama.Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa tidak diampunkan Allah SWT biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat." (Hadis Riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, ia tidak dirasakan lagi sebagai perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri melakukannya. Perbanyakan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Insya-Allah.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 6:15 AM