Syafiq mengenakan baju hospital yang mengundang persoalan warganet. FOTO Instagram
Syafiq mengenakan baju hospital yang mengundang persoalan warganet. FOTO Instagram
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Syafiq Farhain, 27, menafikan dirinya sekali lagi dijangkiti wabak Covid-19 selepas baju hospital yang dipakai mengundang persoalan dalam kalangan warganet.

Syafiq bagaimanapun menjelaskan, dia kini ditugaskan untuk melakukan sanitasi setiap kenderaan yang membawa pesakit Covid-19 di pusat kuarantin Malaysia Agro Exposition Park Serdang (Maeps).

"Saya berada di Maeps bukan sebab jalani kuarintin tapi atas tugasan kerja. Hari ini adalah hari pertama saya bertugas bersama lima lagi anggota bomba. 

"Kami ditugaskan untuk melakukan sanitasi kenderaan yang membawa pesakit Covid-19. Jadi hari ini, saya bertugas 24 jam dari jam 9 pagi hingga 9 pagi, esok.

"Setakat ini tidak banyak kenderaan yang masuk tapi mungkin pada sebelah petang nanti baru banyak. Saya difahamkan dalam sehari ada 100 hingga 200 kenderaan bawa pesakit Covid-19," katanya. 

Terdahulu, penyanyi yang juga anggota bomba di Balai Bomba Dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Putrajaya berkongsi video berada di pusat kuarantin Maeps menerusi laman Instagram Story.

Sebelum ini, Syafiq pernah disahkan positif Covid-19 pada Februari lalu selepas mengalami rasa tidak sihat badan dan mengambil keputusan melakukan ujian saringan.

Menurut Syafiq, memandangkan berada di tempat berisiko tinggi Syafiq mengakui perlu sentiasa berhati-hati dan melakukan persediaaan rapi.

"Memang risiko besar sebab kami terdedah sangat dengan virus Covid-19. Kami kena sanitasi setiap ambulans, bas atau apa saja kenderaan yang bawa pesakit Covid-19.

"Jadi kami memang kena lebih berhati-hati supaya tidak dijangkiti. Tapi paling risau kalau kita yang jadi pembawa virus itu. Walaupun sudah pakai baju pelindung diri (PPE) dan dan ikut prosedur operasi standard (SOP), tapi kemungkinan untuk dijangkiti itu masih ada.

"Lagipun nak pakai baju PPE ada caranya dan nak buang baju itu pun kena ikut langkah yang betul," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 3:10 PM