PELBAGAI agensi kerajaan bersatu dalam memastikan operasi PKRC Maeps 2.0 berjalan dengan lancar.
PELBAGAI agensi kerajaan bersatu dalam memastikan operasi PKRC Maeps 2.0 berjalan dengan lancar.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Ini bukanlah penjara Teluk Guantanamo atau kem tentera dalam zon perang. Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Maeps 2.0 sebaliknya adalah lokasi ribuan wira negara 'berperang' siang malam untuk memulihkan pandemik," ujar Pegawai Penyelaras Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten Ruslan Lok, 46.

Menurutnya, gambaran di media sosial kononnya pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang yang mula beroperasi sejak 9 Disember tahun lalu menjadi pusat tahanan pesakit Covid-19 adalah salah.

"Agak mendukacitakan apabila ada pihak mendakwa PKRC sebagai lokasi sesak, tidak terurus dan pusat pengumpulan pesakit kritikal virus Covid-19.

"Saya berkhidmat di sini bersama 18 agensi lain dalam usaha menurun serta memutuskan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat tempatan dan pendatang asing," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Menurutnya, setiap agensi antaranya petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan bomba dan penyelamat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Penerangan (Japen) dan pelbagai agensi lain bertungkus lumus dan memainkan peranan masing-masing di Maeps.

"Sebagai contoh, APM sebagai agensi penyelaras dan sekretariat pengurusan di Maeps turut ditugaskan dalam aspek pengagihan makanan kepada pesakit di zon merah.

"Ia membabitkan lima dewan utama yang dijadikan pusat kuarantin iaitu dewan A, B, C, D1, DG dan E yang menempatkan lebih 7,000 pesakit. Bagaimanapun bilangan pesakit warga tempatan hanyalah sekitar 1,200 orang manakala selebihnya adalah pekerja warga asing," katanya.

RUSLAN (kiri) berbincang bersama anggotanya dalam isu pengurusan di PKRC Maeps 2.0.
RUSLAN (kiri) berbincang bersama anggotanya dalam isu pengurusan di PKRC Maeps 2.0.

Menurutnya, pesakit yang berada di Maeps membabitkan pesakit Covid-19 kategori satu iaitu tanpa gejala dan kategori dua membabitkan pesakit gejala ringan.

"Mereka yang dikuarantin 10 hari di sini, termasuklah golongan warga emas, kanak-kanak dan wanita. Bagaimanapun mereka diasingkan di dewan khusus," katanya.

Beliau berkata, seramai 35 anggota APM dan 5 pegawai APM ditugaskan setiap hari di Maeps membabitkan dua syif iaitu jam 7 pagi hingga jam 7 malam sebelum diikuti syif berikutannya sehingga jam 7 pagi keesokan harinya.

"Tugas ini agak mencabar kerana kami perlu memeriksa kualiti makanan untuk ribuan pesakit dihantar jurusaji ke Maeps 3 kali sehari.

"Biasanya tugas perlu dilakukan dengan pantas dan anggota APM perlu memakai pakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) sebelum makanan dihantar kepada pesakit mengikut dewan ditentukan," katanya.

Menurutnya, anggota APM turut perlu membuat agihan makanan dari katil ke katil membabitkan pesakit dalam kalangan warga emas dan pesakit yang mempunyai penyakit kritikal seperti jantung.

"Sarapan perlu habis diagihkan sebelum jam 10 pagi. Kami mengejar masa kerana selepas jam 10 pagi, makanan itu dianggap sudah luput dan tidak selamat dimakan.

'Sistem pengagihan makanan ini juga bukan semudah disangka berikutan setiap pesakit mempunyai keperluan berbeza. Sebagai contoh pesakit jantung, kolesterol, kencing manis, gout dan alahan teruk mempunyai menu makanan berbeza," katanya.

PETUGAS memakai PPE demi menjaga keselamatan.
PETUGAS memakai PPE demi menjaga keselamatan.

Ruslan berkata, pegawai pemakanan dan dietetik akan menentu jenis menu bersesuaian dengan pesakit bagi mengelak sebarang risiko.

"Ia bukan tugas mudah kerana perlu memenuhi keperluan ribuan pesakit dalam satu masa singkat. Ada yang tidak boleh makan daging, ikan, ayam atau makanan tertentu.

"Semua ini perlu diuruskan APM selepas mendapat nasihat pegawai pemakanan dan dietetik KKM. Jika makanan tidak mencukupi, APM perlu memikirkan cara untuk memenuhi keperluan pesakit ini," katanya.

Menurutnya, semua anggota APM perlu pantas sama ada ketika memakai PPE dan bergerak mengagihkan makanan ke setiap dewan dalam tempoh masa dua jam ditetapkan.

"Ramai yang menyangka tugas ini mudah padahal anggota APM berdepan tekanan berikutan saiz dewan pesakit yang besar, masalah komunikasi berikutan warga asing yang enggan mendengar arahan, kekurangan pek makanan susulan pertambahan pesakit baru didaftarkan dan pelbagai isu lain," katanya.

WARGA asing yang selesai menjalani kuarantin di PKRC Maeps 2.0 menaiki bas untuk pulang ke asrama atau kilang masing-masing.
WARGA asing yang selesai menjalani kuarantin di PKRC Maeps 2.0 menaiki bas untuk pulang ke asrama atau kilang masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi, Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi, PPj. (PA) Abdul Wahab Rahim berkata, PKRC Maeps 2.0 menyediakan fasiliti sama seperti di hospital dengan doktor pakar dan terlatih sentiasa bersedia 24 jam.

Malah pesakit menikmati segala kemudahan selesa seperti liputan WiFi, tempat rehat dengan kemudahan televisyen, kawasan riadah dan solat, kemudahan permainan indoor seperi karom dan ping pong, sudut bacaan selain semua dewan dilengkapi kemudahan pendingin hawa.

"APM sebagai sekretariat di pusat kawalan operasi Maeps turut berperanan dalam isu logistik, pengurusan dan bekerjasama dengan agensi dalam melancarkan tugasan harian.

"Semangat kerjasama berpasukan semua agensi penyelamat di sini amat mengagumkan. Semua pengorbanan ini dilakukan bersama demi kesejahteraan rakyat dan memulihkan negara," katanya.

Maeps kali pertama diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dan ditutup 15 Julai tahun lalu selepas menempatkan pesakit bukan warganegara sahaja.

Berbanding hanya 604 katil semasa Maeps 1.0 tahun lalu, ketersediaan katil di PKRC Maeps 2.0 adalah kini adalah sebanyak 10,000 katil.

52 anggota polis pastikan keselamatan

"Bukan mudah mengawal lebih 5,000 warga asing di sini. Anggota polis sentiasa bersiap sedia bagi memastikan tiada provokasi atau rusuhan dilakukan warga asing yang berada di hospital medan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps)," kata Pegawai Pemerintah Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Maeps 2.0, Superintendan Norhizam Bahaman.

Beliau mengakui pernah berlaku pergaduhan membabitkan warga asing berlainan negara yang di tempatkan di dewan sama akibat isu kecil seperti kehilangan barang peribadi, ejek mengejek dan pelbagai punca remeh.

"Bagaimanapun, kejadian tidak diingini ini dapat dicegah lebih awal oleh 52 anggota polis yang ditugaskan di Maeps 24 jam sehari.

"Ia membabitkan unit-unit pencegah rusuhan (Poru) yang terlatih apabila diperlukan bagi membantu penugasan di sini. Anggota polis ini terlatih khusus dan sedia diaturgerak dalam tempoh singkat jika berlaku kecemasan," katanya.

ANGGOTA Unit Poru PDRM yang terlatih khusus dan sedia diaturgerak dalam tempoh singkat.
ANGGOTA Unit Poru PDRM yang terlatih khusus dan sedia diaturgerak dalam tempoh singkat.

Keupayaan anggota Poru terbukti apabila berjaya meleraikan pergaduhan berpunca kes kecurian telefon pintar milik pesakit, baru-baru ini.

"Kekacauan dan rusuhan boleh tercetus jika mereka tidak dikawal dan diberikan amaran awal. Oleh itu, anggota polis akan sentiasa melakukan rondaan selain memastikan undang-undang dipatuhi.

"Tugas mengawal dan memastikan warga asing ini mengikut arahan ditetapkan adalah cabaran bagi kami. Namun, Alhamdulillah ia berjaya dilakukan dengan baik oleh polis," katanya.

Sementara itu, seorang petugas di Maeps yang enggan namanya didedahkan memaklumkan pernah dikepung kumpulan 'samseng' membabitkan pesakit warga asing yang tidak berpuas hati susulan arahan kuarantin dilakukan itu.

"Ada antara mereka berlagak seperti ketua kongsi gelap apatah lagi mempunyai kawan-kawan senegara yang ramai di sini. Namun, saya memberi amaran dan menyedarkan mereka bahawa mereka bukanlah berada di Bangladesh atau Myanmar ketika ini.

"Mereka tertakluk tindakan undang-undang di Malaysia jika berani melakukan kekerasan fizikal terhadap petugas barisan hadapan di Maeps," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 1:00 PM