SAMANTHA Chong sebelum dan selepas memakai PPE
SAMANTHA Chong sebelum dan selepas memakai PPE
Hajar Umira Md Zaki


Shah Alam: "Petugas barisan hadapan amat memerlukan bantuan kita (sukarelawan) ketika ini berikutan mereka amat keletihan," luah Samantha Chong yang menjadi sukarelawan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, di sini.

Menurutnya semua petugas dan sukarelawan diwajibkan memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) berikutan ribuan pesakit yang hadir ke CAC adalah dikalangan individu sudah disahkan positif dijangkiti covid-19.

"Mereka datang ke sini untuk menjalani pemeriksaan bagi mengetahui sama ada perlu dikuarantin di rumah atau dihantar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

"Sebagai sukarelawan, saya ditugaskan membantu pesakit mendaftar dalam aplikasi SELangkah selain membantu pesakit yang dalam keadaan kecemasan termasuk menawarkan khidmat kerusi roda," katanya.

Menurutnya, tugasan di CAC yang memerlukannya memakai PPE sepanjang masa dianggap cabaran getir perlu ditempuhi.

"Biasanya saya hanya mampu bertahan selama dua jam ketika memakai PPE berikutan badan akan banyak berpeluh dan kepanasan.

"Jika kami sendiri sebagai sukarelawan tak mampu menahan `seksa' memakai PPE, bagaimanapun pula dengan petugas barisan hadapan yang perlu memakai PPE sepanjang hari ?," katanya.

Menurutnya, tempoh masa lama memakai PPE menyebabkan mukanya mempunyai kesan birat yang kekal sementara waktu.

Dia berkata, semangat kental ditunjukkan petugas barisan hadapan membabitkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta lain-lain agensi mengkagumkannya.

Samantha berkata, tugas dipikul membabitkan pesakit yang positif Covid-19 memberi peluang kepadanya merasai pengalaman berada di lapangan.

"Di sini kami bersatu hati dan bantu membantu tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan menjadi sukarelawan susulan melihat kepada kes penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Samantha yang lengkap menerima dua dos vaksin berkata, individu lengkap divaksinasi digalakkan untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan.

Katanya, tugas itu tidak bahaya seperti mana dibayangkan sekiranya prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 10:04 PM