Hafreez Adam
Hafreez Adam
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Hafreez Adam sanggup menarik diri dari penggambaran Seratus The Movie baru-baru ini kerana menjadi kontrak rapat dengan seorang pesakit Covid-19.

Hafreez berkata, dia terpaksa melepaskan tawaran itu kerana tidak mahu menjadi individu yang pentingkan diri sendiri.

"Projek itu memang menarik dan saya rasa sangat rugi apabila terpaksa menarik diri. Namun, apakan daya kerana saya menjadi kontak rapat seorang yang positif Covid-19," katanya.

Hafreez berkata, sebenarnya dia memang dibenarkan untuk keluar bekerja kerana bukan dia yang disahkan positif, namun dia tidak mahu mementingkan diri.
Bagi Hafreez, dalam menjalani kehidupan dalam situasi pandemik ini, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri.

"Jadi, saya buat keputusan tak mahu merisikokan orang lain dan pasukan produksi. Saya tarik diri. Duit tak dapat, projek besar tak dapat. Memang ralat tapi macam yang saya cakap, kita tak boleh pentingkan diri sendiri.

"Pada masa itu, saya juga memilih untuk kuarantin diri. Ini kerana simptom ini kadang-kadang selepas beberapa hari baru nampak dan boleh kesan," katanya.

Disebabkan itu, Hafreez juga tidak mengambil foto sambutan Aidilfitri bersama ibu dan adik-beradiknya, baru-baru ini.

Katanya, ketika itu mereka sekeluarga masih lagi dalam proses kuarantin.

"Apabila habis kuarantin, saya sedih melihat orang yang membeli barangan dapur di pasar raya beratur rapat sangat. Kes makin banyak, tapi tengok di Instagram Story masih ramai orang beraya di rumah kawan, pasangan dan sebagainya.

"Orang saling salah-menyalah di antara satu sama lain, tapi diri sendiri tak jaga. Tapi diri sendiri pun tak jaga. Saya sampai sekarang belum beraya sekali dengan famili," katanya.

Hafreez juga menjelaskan tujuan utama dia membuat perkongsian itu kerana sangat kasihankan petugas barisan hadapan.

Katanya, mesti mereka berasa sudah tak ada 'life' kerana penat bekerja tanpa henti nak selamatkan orang lain.

"Jadi, saya minta sangat kita semua boleh hentikan sikap pentingkan diri sekarang. Berhenti terus menuding jari mencari salah-siapa dan kini lakukan apa sepatutnya yang perlu kita buat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 5:09 PM