AKUI kini mengenali hati budi seorang wanita.
AKUI kini mengenali hati budi seorang wanita.
Ridzuan Abdul Rahman


HUBUNGAN pelakon Hafreez Adam, 31, dengan bekas tunangnya yang juga pelakon, Zara Zya, 36, masih baik seperti dulu.

Hafreez berkata, dia juga tidak kisah jika ditawarkan berlakon bersama sekiranya diberikan peluang.

"Bukan bermakna kami boleh melepak atau berbual bersama seperti dulu, tapi kalau nak diikutkan sudah ada dua, tiga syarikat produksi yang tawarkan kami berlakon bersama.

"Mereka terus terang tanya sekiranya saya boleh kerja dengan Zara. Saya cakap tiada masalah. Mereka juga sudah bertanya dengan Zara dan dia juga tiada masalah.

"Namun, perkara ini belum dapat dilaksanakan kerana jadual penggambaran kami yang sentiasa padat," katanya pada majlis pelancaran pakaian jenama 9 Generasi rekaan Azirun Ramly.

Hafreez berkata, semasa akhir perbualan ketika putus tunang pada hujung 2019, mereka masing-masing memohon maaf antara satu sama lain.

"Kami akhiri perkara ini secara baik, tapi selepas itu orang luar sampaikan pelbagai cerita kurang enak pula. Jadi, macam tak bagus pula. Namun dengan pengesahan daripada syarikat produksi mengatakan Zara tak menolak digandingkan dengan saya, bermakna kami okay.

"Semua orang pun tahu dia sudah ada pasangan baru, jadi tak sesuai kalau saya nak menghantar mesej kepada dia. Saya kena hormat dia, cuma kadang-kadang ada orang tak faham perkara ini," katanya.

Hafreez tidak menafikan kekeruhan ini dicetuskan segelintir peminat yang menyerangnya menerusi mesej peribadi di Instagram.

Dalam pada itu, Hafreez mengakui dia kini mengenali hati budi seorang wanita.

"Saya sekarang pilih untuk tidak menyorokkan hubungan ini. Jika orang nampak dan tanya, saya akan mengakuinya secara jujur.

"Bagaimanapun, saya tak akan mendedahkan siapa orangnya dan hanya akan umumkan lanjut bila sampai ke fasa untuk berkahwin," katanya.

Hafreez melangsungkan pertunangan dengan Zara pada 12 Oktober 2019, namun putus tunang pada bulan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:32 AM