RABBANI
RABBANI
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kumpulan Rabbani yang mengadakan persembahan untuk majlis berbuka puasa di Dewan Perdana Felda D'Saji sepanjang Ramadan akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru yang diputuskan oleh kerajaan.

Ketuanya, Azadan Abdul Aziz berkata mereka mengikut sahaja apa yang terbaik diputuskan oleh kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19.

"Siapa yang tak sedih apabila perkara ini berlaku terutama ia tahun kedua kita melaluinya. Namun, kita perlu memandang positif perkara ini terutama untuk masa depan.

"Ada kebaikan yang berlaku terhadap arahan dan perlaksanaan ini. Apabila rantaian Covid-19 dapat diputuskan, kita pasti akan dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang lebih baik.

"Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama berdoa agar virus pembunuh ini segera terhapus dari tanah air kita yang tercinta," katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, kumpulan yang dianggotai oleh Azadan, Mohd Asri Baidul @ Ubaidullah, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini tampil dengan single terbaru berjudul Mencintaimu ciptaan Daqmie dan lirik Ustaz Neezam al banjari/ Jart hassan.

"Single ini diilhamkan oleh kami dan Mudir juga Ahli Jawatankuasa Pondok Pengajian AlBari yang beroperasi di Sungai Gabai, Hulu Langat Selangor. 

"Kami berbesar hati untuk menyanyikan single ini bagi tujuan membantu pusat ini mengumpul dana Pembinaan Pondok yang akan menempatkan beberapa orang pelajar, guru dan juga ahli qariah pondok terbabit.  

"Lagu ini membawa pendengar dan peminat agar rasa rindu dan cinta terhadap junjungan Mulia Rasulullah SAW dan sentiasa berselawat ke atas baginda," katanya. 

Menurutnya misi dan visi Pondok Pengajian Albari adalah untuk melahirkan generasi Al Quran yang berilmu dan beramal soleh dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan.  

"Rabbani juga turut memperkenalkan anak didik kami iaitu Kumpulan Aeydan terdiri daripada Rabbani junior dan anak anak Rabbani.

"Mereka akan tampil dengan single berjudul Suara Takbir. Video muzik bakal dihasilkan dan single ini dijangka akan dilancar pada malam raya menerusi YouTube Rabbani Production. 

"Selain itu, perniagaan kami turut dikembangkan lagi dengan penghasilan Pes Nasi Arab dan Pes Bubur Lambuk," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:14 PM