USTAZ Muhammad Adenan (lima dari kiri) bersama Rabbani melancarkan Tabung TDU.
USTAZ Muhammad Adenan (lima dari kiri) bersama Rabbani melancarkan Tabung TDU.
Oleh Nor Akmar Samudin

Semakin hampir tarikh konsert Malam Gema Maulidurrasul 1437 Hijrah yang akan berlangsung pada 19 Disember ini, Rabbani kian berdebar.

Ini kerana konsert itu bukan sahaja dianjurkan untuk mengingati nabi junjungan kita, Rasulullah SAW, tetapi juga bagi mengumpul dana membangunkan pusat Tahfiz Darul Ulama (TDU) yang beroperasi di Kampung Melayu Kundang, Kuang, Selangor.

Konsert anjuran TDU dengan kerjasama Rabbani Production (M) Sdn Bhd itu akan diadakan di Dataran Maahad TDU, Jalan Bukit Kor, Kampung Rhu Rendang, Marang, Terengganu.

Baru-baru ini, Rabbani dan TDU menganjurkan majlis makan malam dan berjaya mengumpul dana RM50,000 dalam usaha memperbesarkan pusat tah­fiz berkenaan.

TDU yang dibuka enam tahun lalu di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kini memiliki 60 pelajar lelaki. Mereka yang belajar di situ tidak dikenakan sebarang bayaran.

Rabbani yang sering terbabit dengan kerja amal terpanggil membantu TDU apabila secara tidak sengaja bertemu dengan pengasas pusat tahfiz itu, Ustaz Muhammad Adenan Abdullah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), awal tahun lalu.

Azadan Abdul Aziz mewakili Rabbani berkata, TDU yang bergerak meng­gunakan hasil sumba­ngan orang ramai, MAIS dan Lembaga Zakat Selangor memerlukan dana RM150,000 untuk membina bangunan dua tingkat di TDU Kuang dan cawangan­nya di Marang.

Demi membantu pusat tahfiz itu Rabbani sepakat mengadakan persembahan secara percuma.

“Kami yakin apabila ikhlas membantu, pasti Allah SWT akan datangkan rezeki yang lain. Janji Allah kepada hamba-Nya, tidak rugi orang yang bersedekah apatah lagi untuk agama. Saya kagum dengan kesung­guhan dan keikhlasan Ustaz Adenan membangunkan pusat tahfiz itu,” katanya.

Bagi mengumpul dana itu, Rabbani bekerjasama de­ngan TDU melancarkan kutipan Tabung Pembinaan Kali Kedua di lokasi berlangsungnya konsert terbabit.

Dalam program bermula jam 11 pagi hingga 11 malam itu, Rabbani menyediakan tabung untuk orang ramai menderma.

Kepada yang ingin berniaga, turut disediakan gerai pada harga berpatutan. Hasil daripada sewa gerai akan disalurkan ke tabung dana pembangunan TDU.

Selain itu turut disediakan kaunter pendaftaran pelajar baru TDU cawangan Terengganu dan jualan pelbagai produk.

Menurut Azadan, meskipun pelajar itu menuntut ilmu secara percuma di kedua-dua cawangan TDU, mereka tetap berhak mendapatkan pendidikan dan tempat tinggal yang terbaik.

“Kami tidak mahu mereka kekurangan apa-apa dan syukur keperluan makan minum mereka mencukupi cuma kami perlu membina satu bangunan yang lebih sempurna serta lengkap dengan kemudahan pembelajaran.

“Bangunan yang ada sekarang ala kadar saja termasuk tempat tinggal guru. Namun, disebabkan sangat mencintai ilmu Allah SWT, mereka abaikan segala ketidakselesaan itu.

“Tahun depan TDU akan menerima ramai lagi pelajar baru termasuk perempuan. Marilah kita sama-sama membantu pusat tahfiz TDU dan ini juga antara dakwah yang dapat kita lakukan untuk terus menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Tahfiz Darul Ulama - 562740120888.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 1:05 PM