Oleh Nor Akmar Samudin

Pada 4 hingga 8 november lalu, kumpulan Rabbani dijemput mewakili negara untuk membuat persembahan di Setif, Algeria yang menganjurkan Festival Sufi yang juga program tahunan negara itu yang sebelum ini pernah menjemput kumpulan nasyid lain.

Acara itu berlangsung selama dua minggu di mana menurut Azadan Abdul Aziz daripada Rabbani, setiap hari ada persembahan artis daripada Timur Tengah dan negara Asia.

"Apabila Rabbani tiba di sana, penganjur sangat teruja kerana kami antara pelopor kumpulan nasyid di Malaysia dan sudah 'otai'. Mereka di sana banyak mendengar mengenai kejayaan kumpulan nasyid di Malaysia termasuklah Rabbani sendiri yang sudah banyak kali menang pada Anugerah Industri Muzik dan Bintang Popular Berita Harian.

"Rabbani turut gembira kerana selain dapat membuat persembahan di sana, kami juga berpeluang berjumpa dengan kumpulan nasyid lain yang mana ada yang kami pernah jumpa sebelum ini. Meskipun anggota Rabbani tidak begitu fasih bertutur bahasa Arab, atas dasar minat serta perjuangan yang sama, kami tetap mesra.

"Penganjur juga melayan kami dengan baik dan selama lima hari berada di Setif, terasa begitu pantas masa berlalu dan berharap akan dijemput lagi membuat persembahan di sana. Rabbani menyanyikan lapan lagu dengan menyisipkan lagu Melayu, Arab dan Inggeris.

"Menariknya keba-nyakan yang datang tahu lagu Rabbani kerana sebelum ini kami pernah membuat persembahan di Kuwait dan Dubai serta era globalisasi yang teknologi merentas sempadan dunia, mereka boleh mendengar lagu menerusi YouTube. Ada yang menyanyi bersama-sama kami," katanya.

Ketika berada di sana juga, Rabbani ditemu bual oleh wartawan di sana dengan bertanyakan perasaan mereka berada di Sepif dan seterusnya mengenai festival itu.

Jelas Azadan lagi, orang yang bertanggungjawab membawa Rabbani ke Setif adalah pengurus kumpulan nasyid Debu dari Indonesia iaitu Mujahid. Atas hubungan baik itu juga, atas persetujuan Debu, Muhajid menawarkan kerjasama merakamkan lagu dengan Debu.

"Mujahid sudah menghantar dua lagu ciptaan komposer Indonesia kepada kami untuk dipilih yang mana salah satu­nya akan dimuatkan dalam album baru Rabbani. Bagi memudahkan urusan, rakaman lagu itu akan dibuat di negara masing-masing. Debu akan membuat rakaman di Indonesia dan Rabbani di Malaysia.

"Kami juga sedang berbincang dengan Datuk Hattan untuk berduet dengannya yang mana jika perkara ini terjadi, ia adalah satu pembaharuan dan kerjasama yang paling bermakna sekali selepas kami pernah berduet dengan Amy Search dan Mawi.

"Rabbani terpanggil untuk berduet dengan Datuk Hattan kerana tertarik dengan kebolehannya menyanyikan pelbagai genre lagu termasuklah lagu lohat Negeri Sembilan iaitu tempat kelahirannya. Suaranya yang versatil pasti menarik jika digabungkan dengan Rabbani untuk menyanyikan lagu ketuhanan," katanya.

Tegas Azadan, Rabbani sudah lama untuk merakamkan lagu dengan artis Indonesia seperti Ungu dan Dewa namun belum kesampaian.

"Tidak lama dulu kami pernah berduet dengan Dewa di Stadium Negara menerusi lagu Laksar Cinta. Nampaknya 'jodoh' Rabbani dengan Debu," katanya.

Terbaru, Rabbani dilantik sebagai duta Wasatiyah Travel & Tours Sdn Bhd selama setahun yang beroperasi di Taiping, Perak. Untuk kerjasama awal ini, Wasatiyah menganjurkan Pakej Umrah Musim Sejuk Bersama Rabbani selama 11 hari 9 malam pada 23 Disember ini hingga 3 Januari 2015. Umrah itu akan dibimbing oleh Ustaz Mohd A'fifi Abdul Rahman.

Menurut A'fifi, pihaknya tertarik untuk bekerjasama dengan Rabbani kerana bukan saja anggota Rabbani bersikap sederhana, malah mereka memperjuangkan Islam secara sederhana.

"Untuk mengajak orang ramai terus mendekati Islam terutama orang muda mestilah dengan cara sederhana kerana manusia tidak sukakan paksaan dan kekerasan. Cara Rabbani itu selaras dengan konsep syarikat kami yang begitu mementingkan kesederhanaan," katanya.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai pakej umrah itu, lawati laman sesawang www.wasatiyahtravel.com atau [email protected] atau Facebook-wasatiyahtravel.

"Barangkali ada yang terkeliru pembabitan Rabbani dengan Rabbani Travel & Tours (RTT) dan hubu­ngan kami dengan Wasatiyah Travel. Bagi menjelaskan perkara itu, kami masih ahli lembaga pengarah dengan RTT, tetapi dengan Wasatiyah Travel, kerjasama kami atas nama kumpulan Rabbani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:00 AM