Kolaborasi Rabbani dan Zizi Kirana
Kolaborasi Rabbani dan Zizi Kirana
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 di Zepp Kuala Lumpur esok bakal menampilkan paduan hebat antara kumpulan Rabbani dan Zizi Kirana.

Menurut ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, konsert anjuran Intermedia Production Sdn.Bhd dengan kerjasama Rabbani Empire Resources dan disokong oleh Tourism Malaysia itu bakal menyaksikan sisi berbeza kumpulan nasyid itu.

"Rabbani akan tampil dengan lagu yang berbeza daripada konsert yang pernah kami buat sebelum ini.

"Antaranya adalah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Alhamdulillah Syukur Nikmat dan Berkorban Apa Saja.

"Selain itu, Rabbani juga akan berduet dengan Zizi dan penonton yang hadir akan menyaksikan Rabbani rap bagi memberi kelainan dan cabaran baharu .

"Keseluruhan perjalanan konsert kali ini juga berbeza berbanding Konsert Simfoni Kesyukuran 1.0 yang diadakan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor pada Disember tahun lalu," katanya.

Selain persembahan Rabbani dan Zizi, konsert terbabit turut menampilkan Mawi, Adeep Nahar dan kumpulan Aeydan.

Konsert itu turut diiringi pemuzik dari Orkes Melayu Yayasan Warisan Johor.

Menurut Azadan lagi, persediaan konsert sudah hampir siap sepenuhnya dan berharap semuanya berjalan lancar.

"Alhamdulillah persiapan konsert sudah siap 90 peratus. Pemuzik dari Orkes Melayu Warisan Johor pun sudah menyiapkan susunan lagu yang bakal dipersembahkan esok.

"Barisan artis yang terbabit juga memberikan kerjasama yang sangat baik terutama kumpulan Aeydan yang menjadi tenaga penting untuk konsert ini dalam membantu daripada sudut teknikal dan dokumentasi konsert," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 5:32 PM