MUHYIDDIN Yassin. FOTO Bernama
MUHYIDDIN Yassin. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bersempena sambutan Maulidur Rasul, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengajak seluruh umat Islam untuk terus bermunajat di kala negara masih diuji dengan penularan jangkitan Covid-19, serta dalam usaha memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Bermunajat bermaksud mengharapkan keredaan, hidayah dan pertolongan Allah dengan membanyakkan zikir dan doa.

Perdana Menteri berkata, ujian itu seharusnya mengukuhkan iltizam umat Islam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah melupakan umatnya.

"Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi, dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, melalui hantaran Facebooknya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia.

"Saban tahun, kita memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda SAW terhadap umatnya. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Ummah Rabbani Negara Harmoni'," katanya.

Muhyiddin berkata, tema berkenaan dipilih untuk menggambarkan peri pentingnya sifat Rabbani dan kepatuhan hamba kepada pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

"Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah insan yang sangat mulia dan kita kasihi ini," katanya.

Perdana Menteri seterusnya memuji inisiatif dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menggerakkan kempen "Malaysia Berselawat."

Melalui inisiatif itu, peserta terdiri daripada rakyat Malaysia, dianjurkan merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan hashtag #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial JAKIM.

"Ini bukan sahaja inisiatif sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian, bahkan lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi SAW," kata Muhyiddin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 11:56 AM