Zarina Anjoulie sahkan sudah bercerai.
Zarina Anjoulie sahkan sudah bercerai.
Wartawan Harian Metro

Kuala Lumpur: Pelakon Zarina Anjoulie, 34, sekali lagi mengesahkan sudah bercerai dengan suaminya, Eilyas Azhar.

Perkara ini disahkan menerusi status hantaran di Instagram.

"Ramai tanya betul ke Anju dan Yas dah cerai. Ya, betul kami sudah cerai. Terima kasih.

"Takpe la bro (Yas) semua duit aku kasi kau aku halalkan, tapi aku nak telefon aku balik dengan bag Gucci aku ye. Sebab kau kena faham aku bukan 'sugar mummy' kau," katanya.

Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Mohd Fahizul turut memuat naik hantaran yang membayangkan suaminya meminta cerai apabila bergaduh.

"Kalau dah setiap kali gaduh suami minta cerai, ha corai (cerai) la den (saya) tak hadap la. Aku ada maruah. Nak cakap aku semak? Aku tak pernah sekali mengadu kau tak kasi aku apa, aku tak pernah mengadu kau tak boleh kasi aku rumah, kereta, bawa aku membeli belah macam suami lain sebab aku terima kau seadanya. Aku syukur semuanya sudah berakhir (I'm glad its over).

"Jadi salah tak kalau aku minta telefon aku balik dengan beg Gucci aku?" katanya.

Terdahulu Zarina mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan dia dan Eilyas yang dikahwini pada 17 Julai tahun lalu sudah bercerai.

Urusan penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 10 Februari lalu berjalan lancar.

Bagaimanapun pada 2 Mac lalu, menerusi hantaran di Instagram, Zarina mengakui kembali rujuk dengan Eilyas.

Dia turut meminta agar wanita berhenti menghantar mesej kepada suaminya.

Zarina berkahwin dengan Elyas di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.

Sebelum itu, dia pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuda dari Brunei pada 2015, namun bercerai pada Disember 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Awangku Gabriel Martin Ezra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 11:34 AM