MUHAMMAD Afwa. FOTO IG CTDK
MUHAMMAD Afwa. FOTO IG CTDK
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi nama anak keduanya, yang diberi nama Muhammad Afwa menerusi hantaran di Instagramnya. 

Siti berkata, dia memberi nama dengan makna yang baik kerana nama itu akan dipanggil di akhirat kelak. 

"Bismillahirrahmanirrahim. Hari ini, 26 April 2021, bersamaan dengan 14 Ramadan 1442H, anakanda saya genap berusia tujuh hari.

"Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak.

"Alhamdulillah, hari ini, suami dan saya ingin berkongsi wajah dan nama anakanda kedua kami. Kami menamakan anakanda kami dengan nama Muhammad Afwa yang membawa makna keampunan atau kemaafan," tulisnya. 

Tambahnya, kehadiran puteranya itu melengkapkan 'afiyah' atau perlindungan daripada Allah dalam segala aspek. 

"Muhammad Afwa lahir pada bulan Ramadan, bulan keampunan dan di dalam doa malam Lailatul Qadar juga ada menyebut afwa.

"Afwa melengkapkan 'afiyah' dan terdapat di dalam doa yang saya dan suami pilih iaitu doa lengkap 'afiyah'.

"Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa di dalam keampunan dan kemaafan Allah SWT dan kita semua juga di dalam lindungan-Nya," tulisnya. 

Malam ini, Siti juga akan melancarkan video muzik rasmi lagu berjudul Anakanda jam 9 malam di saluran YouTubenya, menampilkan Afwa. 

Muhammad Afwa selamat dilahirkan pada 19 April lalu menerusi kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor.

Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang berkahwin pada 21 Ogos 2006 dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun juga menerusi proses IVF.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 9:08 PM