SITI Nurhaliza bersama dua cahaya matanya.
SITI Nurhaliza bersama dua cahaya matanya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil inisiatif menggajikan penjaga yang juga mempunyai latar belakang bidang pendidikan untuk membantu perkembangan pembelajaran anak sulungnya, Siti Aafiyah.

Siti berkata, sebagai ibu bapa dia mengakui bimbang dengan perkembangan anak-anak yang tidak dapat menjalani kehidupan normal apabila terpaksa duduk di rumah akibat penularan Covid-19. 

"Sebenarnya bukan mudah untuk memastikan perkembangan anak selari dengan usia pada waktu pandemik ini. Walaupun saya kerap meluangkan masa dengan Aafiyah di rumah, tapi  ia tidak mencukupi.

"Pernah sekali saya bawa dia bersiar-siar menaiki kereta, saya terkejut apabila dia begitu teruja melihat kenderaan yang banyak dan lampu jalan. Mungkin terlalu lama duduk di rumah, jadi dia berasa seronok.

"Selepas penjaga Aafiyah iaitu Dayah berhenti, saya kini memanggil pembantu baharu yang juga bergelar guru. Jadi, Aafiyah dapat menghabiskan masa di rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti selain belajar banyak perkara baharu," katanya ditemui pada sidang media virtual Majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua BeauSiti yang diadakan secara maya. 

Menurut Siti, biarpun banyak aktiviti seni dan perniagaan terjejas akibat penularan Covid-19, namun dia bersyukur kerana dapat melihat anak keduanya, Muhammad Afwa membesar depan mata.

"Alhamdulillah, bulan ini Afwa genap berusia lima bulan. Walaupun kita terkesan dengan pandemik, namun saya bersyukur dapat melihat dia membesar depan mata. 

"Kalau sebelum ini lewat petang baru saya pulang ke rumah dan separuh hari sudah tidak dapat bersama anak-anak, tetapi sekarang saya dapat beri sepenuh perhatian kepada mereka.

"Selalunya, selepas saya selesai mesyuarat virtual, saya sudah boleh menjenguk anak-anak dan melayan mereka,"katanya.

Siti bernikah dengan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006.

Hasil perkahwinan itu, Siti dan suami dikurniakan dua cahaya mata, Siti Aafiyah, berusia tiga tahun dan Muhammad Afwa, lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:54 PM