ANTARA kata-kata semangat yang diterima Siti.
ANTARA kata-kata semangat yang diterima Siti.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Ketika nama penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza masih 'panas' ekoran dakwaan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) pada majlis tahnik anak keduanya pada 26 April lalu, beliau terus dihujani kata-kata semangat daripada peminat dan orang sekeliling.

Siti, 42, menerusi hantaran di Instagram Story memuat naik semula beberapa ucapan yang ditulis peminat buat dirinya.

Antaranya, pengguna akaun Khairul Hakimin Muhammad menulis maksud Afwa iaitu keampunan sempena nama anak kedua Siti.

"Nama pun Afwa. Keampunan. Apalah yang lebih besar Allah akan beri selepas ujian ini @ctdk (Siti) dan Puan @rozisangdewi (Rozi Razak). Insya-Allah akan baik-baik saja. Kami mendoakan sebanyak-banyaknya kebaikan," tulisnya.

Hantaran itu dibalas Siti yang mana bersetuju dengan apa ditulis.

"Setuju, inilah hebatnya Afwa. Memberi dan mendapat kemaafan Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Siti turut memuat naik hantaran mengenai situasi dilalui ketika ini.

"Alhamdulillah, saya patut tengah seronok kumpul pahala banyak-banyak 10 malam terakhir ini. Kata ustaz apabila berdepan dengan dugaan, betullah ustaz dapat pahala percuma berganda-ganda pula tu. Alhamdulillah," katanya.

Terdahulu, kecoh dalam kalangan warganet apabila majlis tahnik diadakan Siti didakwa melanggar SOP berikutan kehadiran pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang didakwa merentas negeri.

Susulan itu, Siti seperti dilaporkan Harian Metro menjelaskan tidak berlaku pelanggaran SOP seperti didakwa banyak pihak. Dalam kenyataan sama, Siti memohon maaf dan sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Semalam, polis sudah mengambil keterangan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selaku penganjur majlis berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 8:31 AM