Sudirman Mohd Tahir


SITI Aafiyah menjadi pilihan nama anak pasangan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Siti, 39, berkata, nama itu dipilih bersempena doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada bapa saudaranya, Al Abbas.

“Nama anak ini saya dapat ketika menunaikan umrah tahun lalu. Sepanjang di sana, saya sering mendengar doa berkenaan. Malah maksud Aafiyah juga merangkumi yang baik-baik saja.

“Sepanjang hamil, saya sering mendapat kiriman doa ini yang menyebut nama Aafiyah. Jadi, saya dan suami sepakat memilih nama ini,” katanya.

GAMBAR Siti Aafiyah yang dikongsi Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Instagramnya. FOTO Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza
GAMBAR Siti Aafiyah yang dikongsi Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Instagramnya. FOTO Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

Sementara itu, suami Siti, Khalid, 59, berkata, pemilihan nama anak mereka lebih ringkas, indah dan mudah diingati dalam setiap doa.

“Pilihan nama anak berdasarkan satu doa Rasulullah SAW yang mengajar bapa saudaranya. Apabila Abbas bertanya apakah doa terbaik dibaca, Rasulullah SAW berikan ayat berkenaan.

“Dalam doa itu ada perkataan ‘Afiyah yang membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, untuk sihat, kita berada dalam 'afiyah, untuk mempunyai wang yang cukup, kita berada dalam 'afiyah, untuk hidup, kita berada dalam 'afiyah dan untuk anak-anak dilindungi, kita berada dalam 'afiyah.

“Daripada situ saya menamakan anak saya. Dalam masa sama nama ini ringkas dan mudah diingati. Malah dalam setiap doa kita menyebut nama ini,” katanya kepada Harian Metro.

DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama puteri sulung mereka, Siti Aafiyah. FOTO Sudirman Mohd Tahir
DATUK Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama puteri sulung mereka, Siti Aafiyah. FOTO Sudirman Mohd Tahir

Bersempena hari ketujuh kelahiran anak pasangan itu, Siti turut mengadakan majlis tahnik, cukur jambul dan aqiqah di kediamannya yang disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli al-Bakri.

Sebelum itu, pada sebelah petang Siti berkongsi wajah anak perempuannya di laman Facebook dan Instagram.

Video berdurasi 57 saat yang memaparkan wajah anak Siti itu ditonton lebih sejuta kali dalam tempoh tiga jam.

Siti selamat bersalin bayi seberat 3.55 kg secara pembedahan, Isnin lalu dan ketika itu Siti dan suami menggunakan nama sementara iaitu Fatimah Az-Zahra.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:19 PM