XPOSE Band tampil muzik berkonsep moden rock tapi masih terap elemen 90-an untuk lirik dan melodi.
XPOSE Band tampil muzik berkonsep moden rock tapi masih terap elemen 90-an untuk lirik dan melodi.
Syanty Octavia Amry


Tidak tergugat dengan kehadiran penyanyi baru, kumpulan yang menggelar diri mereka Xpose Band yakin muzik dipertaruhkan mampu menarik perhatian pendengar.

Walaupun muzik sekarang lebih terdedah dengan lagu 90-an, Xpose Band yang dianggotai lima anak muda iaitu Furhan selaku vokalis, Fakrul (gitar), Eppy (bass), Zaim (keyboard) dan Taqim (dram) tetap dengan pendirian menampilkan muzik berkonsep moden rock.

Menerusi single berjudul Sandiwara, kumpulan ini menjadikan muzik Akim & The Majistret dan Projek Pistol sebagai rujukan.

“Kami yakin dengan muzik yang ditampilkan kerana tidak ramai memperjuangkan muzik seperti ini. Oleh itu tidak ramai pesaing dan lebih mudah pendengar memilih.

“Namun begitu untuk lirik dan melodi lagu ini kami masih menerapkan elemen 90-an kerana akur dengan permintaan pendengar sekarang,” kata Eppy.

Walaupun masing-masing berbakat menghasilkan lagu, untuk single pertama ini lebih selesa menggunakan khidmat mereka yang berpengalaman.

“Kami masih baru dalam bidang ini dan banyak lagi perlu dikaji serta pelajari. Disebabkan itulah untuk single pertama ini kami gunakan khidmat komposer Zimie dan Lan Todak.

“Insya-Allah jika tiada halangan, untuk single kedua kami akan hasilkan sepenuhnya,” kata Eppy.

Gembira dengan sambutan lagu Sandiwara di laman sosial, kumpulan yang bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd itu dalam proses mendapatkan material untuk single kedua pula.

“Sandiwara sudah dilancarkan Mei lalu. Syukur ia mendapat sambutan luar biasa. Kami tidak mahu menunggu terlalu lama dan berharap dapat memberikan promosi terbaik.

“Selepas itu kami berhasrat tampil dengan single kedua. Apa yang kami cuba lakukan ialah perlu berani dengan persaingan muzik sekarang.

“Jika terlalu lama menunggu bimbang peminat lupa kewujudan kami,” kata Furhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 11:38 AM