HANTARAN di Facebook milik Fauziah yang memuatnaik gambar pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin yang menziarahi Jahidah Nordin, 43, yang terlantar. FOTO ihsan pembaca
HANTARAN di Facebook milik Fauziah yang memuatnaik gambar pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin yang menziarahi Jahidah Nordin, 43, yang terlantar. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Penderitaan wanita yang menjadi mangsa belasahan suami sendiri, Jahidah Nordin, 43, turut mendapat perhatian pasangan selebriti popular, Nur Fazura dan Fattah Amin.

Melalui perkongsian di laman Facebook milik Fauziah Nordin, 40, adik kepada Jahidah, pasangan selebriti berkenaan melawat keluarganya di Sendayan di sini, dan bertanyakan khabar kakaknya, semalam.

Menurut Fauziah, Fazura tidak sanggup melihat keadaan kakaknya yang terlantar malah mengalirkan air mata sebelum masuk ke bilik Jahidah.

"Masa nak masuk bilik tengok kakak, Fazura tak boleh nak masuk sebab dia dah sebak menangis kat luar bilik, tak sanggup tengok keadaan kak Jahidah.

"Suami dia (Fattah Amin) pujuk dia kuatkan hati tengok kak Jahidah," luahnya menerusi hantaran di Facebook yang dimuat naik semalam.

Fauziah juga menyifatkan pasangan pelakon itu sebagai baik hati dan merendah diri kerana sanggup datang melawat Jahidah serta anaknya, Eshan Nufail.

"Rezeki dapat jumpa Fazura dan Fattah Amin..memang humble sangat pasangan ini, peramah tak kekok bergaul.

"Baiknya hati Fazura, suami dan team datang melawat kak Jahidah walaupun orang terkenal. Tapi sangat merendah diri sanggup datang melawat kakak dan Nufail.

"Terima kasih Fazura, Fattah amin dan Team mukmin pro sudi datang melawat," katanya.

Kisah Jahidah yang juga penjawat awam di Johor mendapat perhatian selepas koma dan mengalami kecederaan serius pada kepala dan tengkorak disyaki akibat dipukul suaminya di rumah mereka di Johor Bahru, pada 4 Mei tahun lalu.

Jahidah kini dijaga adiknya, Fauziah di Sendayan sejak lebih setahun lalu dan keadaannya masih terlantar dengan hanya matanya sahaja yang boleh dibuka, namun tidak mampu memberikan sebarang tindak balas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 11:39 AM