DATUK Saifuddin Abdullah (kiri) melancarkan lukisan mural pada sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Okestra RTM ke-60 di Angkasapuri hari ini. FOTO Bernama
DATUK Saifuddin Abdullah (kiri) melancarkan lukisan mural pada sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Okestra RTM ke-60 di Angkasapuri hari ini. FOTO Bernama
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bersempena sambutan ulang tahun ke-75 RTM dan ulang tahun ke-60 Orkestra RTM hari ini, stesen televisyen itu bakal membawakan Konsert Kita RTM Gemilang Selamanya pada 3 April ini.

Konsert dengan iringan orkestra RTM itu akan menampilkan penyanyi hebat dan popular tanah air yang mana sebahagian daripadanya adalah bintang yang dilahirkan menerusi pertandingan Bintang RTM.

Antaranya, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Azharina, Misha Omar, Floor 88, Gerhana Ska Cinta, Haqiem Rusli, Salwa Abdul Rahman, Liza Abdullah, Razis Ismail, Ibnor Reza, Rohana Jalil dan Ramlah Ram serta dihoskan oleh Jeed Zulkifli.

Menariknya, pada hari ini juga RTM membuat percubaan untuk mencipta empat rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu Stesen Penyiaran Paling Lama di Malaysia (The Longest Running Broadcasting Station – 75 years), Forum Paling Terbanyak Disiarkan Secara Langsung Serentak Melalui TV dan Radio RTM (The Most Number of Forums Live Simultaneously Through Radio and TV RTM), Siaran Langsung Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-75 Tahun Secara Serentak Melalui TV dan Radio RTM (The Most Number of Official Ceremonies Live Simultaneously Through Radio and TV RTM), dan Orkestra Paling Lama (Longest Running Orchestra). 

Malah, majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Auditorium Perdana Angkasapuri, pagi ini, sudah mendapat pengiktirafan MBOR yang mana menyaksikan 15 stesen RTM di seluruh negara masing-masing bergabung melepaskan 75 balon helium sebagai simbolik kepada ulang tahun ke-75 RTM.

Pada majlis itu juga, Saifuddin turut mengumumkan trasformasi penyiaran RTM dengan mengikut sifat saluran dan 'niche' program masing-masing.

"Transformasi RTM diteruskan, bersempena dengan sambutan ke-75 RTM ini, kesemua 34 stesen radio RTM, baik stesen yang bersiaran di seluruh negara seperti NASIONALfm, TRAXXfm, AIfm dan MINNALfm, mahupun stesen-stesen Radio Negeri dan Tempatan, akan diberi suntikan nafas baharu supaya lebih segar berkumandang, menarik didengar dan tampil dengan imej baharu melalui logo stesen terkini.

"Bagi televisyen pula, bermula pada ulang tahun RTM ke-75 ini, pelan transformasi saluran TV dimulakan bagi menyiarkan siaran TV RTM mengikut sifat saluran dan 'niche' program masing-masing. Saluran TV1 akan menumpukan kepada rancangan-rancangan bersifat agenda nasional, kenegaraan, kerohanian dan nilai murni. 

"Saluran TV2 pula akan menayangkan rancangan berupa filem, drama, hiburan dan program realiti. Saluran Okey pula bakal menghidangkan program bagi memperkayakan minda, dokumentari, seni budaya, remaja dan travelog," katanya.

Selain itu, buat pertama kalinya RTM memperdengarkan persembahan lagu tema RTM 75 dan Pelancaran Saluran Sukan. 

Saluran sukan pertama yang dimiliki sepenuhnya oleh RTM itu dikenali sebagai Sukan RTM yang membawa aksi-aksi sukan tempatan dan antarabangsa untuk tontonan semua peminat saluran sukan di Saluran 111 my Freeview.

Di samping itu, RTM juga berkolaborasi dengan Pos Malaysia untuk menghasilkan Setem Khas Hari RTM Ke-75.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 2:56 PM