KELUARGA penting bagi Noraini dan Herman.
KELUARGA penting bagi Noraini dan Herman.
Nor Akmar Samudin


Tempoh 36 tahun menabur bakti dengan RTM adalah satu jangka masa yang cukup lama. Masih segar dalam ingatan Noraini Ibnu, 57, tarikh dia mula berkhidmat di Bukit Angkasapuri iaitu pada 20 Disember 1980 dan sejak itu, dia terus setia bersama RTM.

Dikenali pendengar radio nasional itu dengan kelunakan suara, Noraini mempertaruhkan suaranya itu sebagai penyampai (DJ) di RTM selama 32 tahun selain membaca berita radio bagi tempoh 30 tahun.

Kini suaranya tidak kedengaran lagi di corong radio dek peredaran waktu dan pelbagai perubahan yang berlaku dalam dunia penyiaran negara. Berasakan dia tidak sesuai lagi meneruskan khidmat sebagai penyampai, lantas dia meninggalkan dunia penyiaran pada 2012 dengan kali terakhir ke udara di saluran Radio Klasik.

Akur dengan kehendak semasa, Noraini rela memberi laluan kepada pendatang baru dalam dunia penyiaran dan kini lebih selesa berada di belakang tabir dengan menjawat jawatan baru di Bahagian Penyelarasan dan Pemantauan RTM.

“Kita perlu ikut peredaran zaman dan tidak selama-lamanya juga akan menjadi penyampai. Dunia penyiaran sekarang sudah lain dengan pelbagai pembaharuan teknologi termasuk cita rasa pendengar.

“Biarlah saya mengundur diri secara perlahan-lahan dan rasanya pada usia saya sekarang, kurang manis lagi untuk bersenda gurau di radio. Bukan saya tidak boleh buat seperti apa yang DJ sekarang buat tetapi atas faktor usia, saya rasa apa yang keluar dari mulut saya tidak ‘natural’ lagi,” katanya.

Dulu lain sekarang lain

Ujar isteri kepada penyanyi Herman Tino ini lagi, penyampai radio sekarang perlu lebih keletah dan kena turun padang untuk mempromosikan saluran radio masing-masing.

“Dulu hanya ada RTM saja tetapi sekarang sudah ada pelbagai saluran radio dan dengan persaingan dalam era digital, tugas penyampai menjadi lebih mencabar untuk mengatasi populariti antara satu sama lain.

“Sesekali mengubat kerinduan untuk ke udara, saya akan muncul di Radio Klasik dalam segmen Adila (Aku, Dia dan Lagu). Untuk membaca berita tidak lagi kerana saya ada masalah pernafasan. Dalam penyampaian berita, apabila penafasan kita boleh didengari pendengar, ia tidak bagus,” katanya memberikan tip berguna.

Menyuarakan pendapatnya mengenai perbezaan penyampai dulu dan sekarang, kekuatan penyampai dulu terletak pada suara sehingga ada yang jatuh cinta dengan kelunakan dan kemerduan suara mereka di konti.

“Sekarang bukan tiada penyampai atau DJ yang bagus tetapi pemilihan mereka kini lebih kepada penampilan wajah sebagai salah satu cara untuk mempromosikan saluran radio.

“Namun tidak dapat dinafikan kekuatan suara juruhebah dan penyampai dulu membuatkan mereka terus diingati pendengar sehingga hari ini seperti Kak Yong (Tengku Mariam), Zainal Din Zainal, Ainol Jamal, Zazmie Zain, Mustaza Maah, Salleh Rahman, Datin Wan Rohani Zin, Noramin, Datuk Hasbullah Awang dan Zainal Abbas,” ujarnya.

Dengan pengalamannya yang panjang dalam dunia penyiaran tanah air, Noraini berkata, ada yang memintanya mengadakan kelas dan ceramah.

“Saya tak tahu macam mana nak mengajar orang tetapi kalau ada yang datang sendiri berjumpa, saya boleh memberikan sedikit tunjuk ajar tetapi untuk bercakap di khalayak ramai, saya tidak tahu dan jadi gugup,” katanya.

Bahagia dengan Herman Tino

Tinggal tiga tahun lagi untuk Noraini berkhidmat dengan RTM, dia sudah puas. Tiada apa lagi yang mahu dipintanya daripada Yang Maha Esa melainkan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat, kebahagiaan keluarga serta ketenangan hati.

Pada waktu terluang dia dan Herman akan balik ke kampung suaminya itu di Tanjong Karang, Selangor, menghabiskan masa mereka bersama sanak-saudara dan ipar duainya di sana.

Hasil perkahwinan bahagianya dengan Herman, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Yusno, 41, dan Herta, 31. Pasangan itu juga dianugerahkan dua cucu.

“Saya berasal dari Kuala Lumpur dan apabila tinggal di ibu kota, saya anggap seperti tiada kampung apatah lagi ibu bapa saya tiada lagi. Saya anggap kampung Abang Herman adalah kampung saya juga.

“Ibu bapa mentua juga sudah meninggal tetapi apabila balik ke Tanjong Karang, masih ada kemeriahan yang menunggu di sana kerana adik-beradik Abang Herman masih ada. Anak saudaranya juga ramai. Jika ada cuti panjang, saya dan Abang Herman akan pergi bercuti ke luar negara dengan anak cucu.

Aiman Tino bukan anak Herman Tino

Apabila menyentuh mengenai Herman Tino, kini muncul bakat remaja dalam dunia nyanyian iaitu Aiman Tino yang sedang popular dengan lagu, Ku Rela Dibenci. Ramailah pula menyangka penyanyi itu anak Herman Tino!

Apabila perkara itu diajukan kepada Noraini, dalam ketawa dia beritahu memang ramai yang menghubunginya, ada yang bertanya adakah benar dia anak mereka dan ada juga yang mahu menawarkan undangan membaut persembahan.

“Nama mereka saja yang kebetulan sama. Malah ada yang menelefon saya dan Abang Herman selain berhubung menerusi laman Facebook. Puas jugalah kami menjelaskan yang Aiman Tino bukan anak kami. Itu rezekinya dan kami gembira kerana lagu dan suaranya pun merdu,” katanya sambil tertawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 5:02 AM