AINA bercerita mengenai konsep sayangi diri sendiri dalam lagu Sepi.
AINA bercerita mengenai konsep sayangi diri sendiri dalam lagu Sepi.
Najiy Jefri


SELEPAS menutup tahun 2020 dengan cemerlang, Aina Abdul membuka lembaran tahun baru dengan karya terbaharunya berjudul Sepi.

Menerusi lagu ciptaannya itu, Aina berharap Sepi mampu membawanya terbang lebih jauh dalam kerjaya seni tanah air.

Aina berkata, setiap tahun dia akan mempertaruhkan single bergenre balada bagi menguji kemampuan vokal serta tampil dengan kelainan yang berbeza.

"Sepi adalah lagu balada ketiga selepas Sumpah dan Semalam. Sepi menampilkan perbezaan berbanding dua lagu sebelum ini.

"Menerusi Sepi, saya ingin menceritakan mengenai perjalanan seseorang yang ingin keluar dari kepompong yang biasa dihadapinya, mudah kata keluar daripada zon selesa untuk melebarkan sayap dan jangan takut untuk nekad membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri.

"Sepi juga menceritakan bagaimana kesusahan lampau itu boleh mengajar dan menguatkan lagi seseorang," katanya.

Tidak mengambil masa lama untuk menyiapkan Sepi, Aina berkata, kali ini dia menggunakan khidmat pemuzik seperti Ujang (dram), Fly (bass) dan Nazrin (gitar).

Bagi Aina, mereka adalah pemuzik yang dihormati dalam industri muzik tanah air ketika ini.

Bercerita mengenai pembikinan video muzik Sepi yang semakin mendapat perhatian ramai di YouTube, Aina berkata, jalan cerita video muzik itu adalah serba sedikit mengenai perjalanan kehidupannya.

"Untuk pengetahuan semua, saya bermula sebagai penyanyi di restoran, kelab dan lounge.

"Kelab No Black Tie dipilih menjadi lokasi muzik video Sepi kerana saya pernah mencari rezeki di sana dengan menyanyi setiap malam. Persekitaran lokasi terbabit sangat dekat dengan jalan cerita Sepi dan bagaimana saya mencari identiti sendiri dengan menyanyi dan dari situ, saya keluar mengenali dan meneroka ke dunia lebih luas lagi.

"Apa yang saya paparkan dalam muzik video terbabit adalah antara kisah suka duka serta kejadian yang pernah saya lalui sendiri sebelum dikenali sebagai penyanyi arus perdana.

"Muzik video ini mendapat sentuhan Zulherizal Studio selaku pengarah dan Aina juga bertuah kerana dapat bekerja dengan kru produksi yang sangat hebat," katanya.

Menurut Aina, dia berharap buah tangan terbaharunya dapat diterima ramai dan mendapat maklum balas positif.

"Sudah tentu saya mahu semua pendengar menerima karya baharu ini dengan baik. Seperti biasa untuk setiap lagu balada, fokus yang diberikan adalah untuk membawa mesej kepada masyarakat.

"Sebelum ini, Sumpah mengetengahkan isu kesihatan mental, Semalam memberikan perhatian kepada isu keganasan rumah tangga. Kali ini, menerusi Sepi, Aina bercerita mengenai konsep sayangi diri sendiri. Jangan pernah mengalah dalam hidup kerana Allah sentiasa ada di samping kita," katanya.

Bagi Aina, dalam kehidupan tiada apa yang mustahil jika seseorang itu terus berjuang untuk mencipta memori baharu dalam hidup.

"Dulu saya menyanyi di restoran dan kelab-kelab tapi saya bekerja keras dan nekad untuk pergi lebih jauh untuk merealisasikan impian dan mahu karya saya didengari.

"Selain itu, jika diperhalusi lirik lagu ini, ia juga sesuai dengan situasi semasa tatkala kita semua berhadapan dengan pandemik Covid-19 apabila ramai yang terkesan dengan keadaan sekarang, ada yang dibuang kerja, ada yang sukar mencari rezeki dan banyak lagi.

"Kita juga melihat ramai anggota barisan hadapan yang terus kekal berjuang walaupun penat bekerja. Mereka yang bersusah payah untuk mengekalkan kehidupan di waktu mencabar ini

"Jangan kecewa dan mengalah, teruskan berusaha kerana insya-Allah, apa juga halangan yang mendatang pastinya dapat diatasi kerana ada sinar yang menanti," katanya.

Single Sepi boleh dihayati di semua saluran muzik digital sejak 8 Februari lalu dan video muzik Sepi boleh ditonton di saluran YouTube Aina Abdul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 6:23 AM