Syafil Syazwan Jefri


AINA Abdul bukanlah nama yang asing lagi dalam industri seni lantun suara tanah air.

Namanya kini berada sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat tanah air walaupun usia kariernya baru setahun jagung.

Berbekalkan bakat besar dalam bidang penggubahan lagu serta memiliki kemampuan vokal yang luar biasa, Aina berjaya menempatkan namanya di hati peminat muzik tanah air.

Melalui beberapa fasa dalam mencipta nama sebagai penyanyi, Aina yang kini sudah boleh dilabel sebagai artis yang berada di era gemilang masih lagi kerap menoleh ke belakang dan melihat semula pengalaman hidupnya sebagai anak seni.

"Saya pernah menyanyi di pelbagai lokasi, malah pernah menyanyi di tempat yang hanya ada kerusi sahaja. Tanpa penonton. Semuanya kerusi saja.

"Apabila melihat diri saya di pentas dan kemunculan peminat yang setia mendengar dendangan lagu-lagu saya tatkala saya membuat persembahan, ia umpama satu anugerah buat saya," katanya.

Menurut Aina, tenaganya ketika tampil membuat persembahan di pentas masih sama dari dahulu sehingga ke hari ini.

AINA Abdul mencipta nama sebagai penyanyi dan komposer.
AINA Abdul mencipta nama sebagai penyanyi dan komposer.

"Saya melihat semula diri saya yang sekarang dengan diri saya satu ketika dahulu. Walaupun kerusi dan meja yang dahulunya kosong kini berganti dengan manusia, tenaga yang saya salurkan tatkala berada di pentas masih sama.

"Saya bersyukur kerana pengalaman lalu banyak mengajar saya. Kalau dahulu, saya dah terbiasa dengan acara persembahan yang tiketnya habis terjual, mungkin saya jadi lalai dan tak belajar banyak benda. Jadi, setiap pengalaman sepanjang langkah saya itu, saya cuba bawa sampai bila-bila untuk terus menjadi diri saya," katanya.

Menurut Aina, dia juga bersyukur kerana dikurniakan pasukan yang sentiasa mengambil berat dan menjadi pengingat buatnya.

"Pasukan saya sentiasa ingatkan saya, apa yang saya kena jauhi dan dekati. Saya perlukan peringatan daripada mereka untuk pastikan saya berada di landasan yang tepat," katanya.

Walaupun dilihat sebagai penyanyi yang sudah kukuh kedudukannya, Aina mengakui bahawa dirinya belum cukup 'kuat' dari aspek produk dan jenama.

"Saya rasa, belum cukup dengan apa yang saya ada sekarang. Saya cuma ada lagu-lagu di Spotify dan beberapa pertandingan yang saya sertai. Saya rasa masih belum cukup. Sebagai Aina Abdul, mungkin orang nampak macam gahsebe, tapi narnya banyak lagi perjuangan yang perlu saya hadapi untuk terus mengukuhkan nama dan jenama saya," katanya.

Tidak banyak berkongsi mengenai kehidupan peribadinya, Aina selesa dan memilih untuk menjaga privasinya sebagai individu.

"Kehidupan peribadi memang saya jaga. Saya mahu ada privasi sendiri. Kalau dah perihal percintaan atau mungkin putus cinta pun, saya jenis yang akan pastikan bahawa situasi itu hanya antara saya dengan pasangan saya sa haja," katanya.

Aina kini hadir dengan single baru berjudul Fool yang juga single berbahasa Inggeris terbarunya selepas beberapa lagu Inggeris lain seperti Ghost dan Reminiscing yang mendapat sambutan hebat.

"Sebelum ini saya pernah terbitkan dua lagu bahasa Inggeris. Kemudian, ada satu fasa di mana saya rasa begitu tertekan dan menghilang lebih kurang tiga tahun. Sejak itu, saya berhenti keluarkan lagu bahasa Inggeris.

"Tahun ini muncul keinginan untuk saya terbitkan satu lagu abhasa Inggeris dan dari situlah munculnya lagu Fool ini. Insya-Allah, saya kini dalam perancangan untuk mengeluarkan album bahasa Inggeris pertama dan satu daripada lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah lagu ini," katanya.

Kini, fokusnya adalah untuk berjuang di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 36 apabila dua lagu dendangannya iaitu Sepi dan lagu duet bersama Khai Bahar, Nafas Cinta turut bertanding.

"Apabila sesuatu karya itu diletakkan di satu tempat, sama ada ia adalah anugerah atau sumpahan, kita pun tak pasti. Saya memang berharap untuk lagu Sepi terutamanya berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) selepas dua tahun berturut-turut saya bertanding di pentas itu.

"Ia adalah lagu kebangkitan dan kebebasan seorang individu yang berusaha mencari haluan terbaik untuk kehidupan dan kariernya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:00 AM