Aina Abdul  persembahan lagu Semalam di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35. FOTO IHSAN TV3
Aina Abdul persembahan lagu Semalam di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35. FOTO IHSAN TV3
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Kehebatan vokal penyanyi Aina Abdul, 28, yang memukau dalam menyanyikan apa saja lagu ternyata mendapat perhatian YouTuber dari dalam dan luar negara untuk membuat reaksi pada setiap persembahan nyanyiannya.

Malah, selain YouTuber dari Indonesia, Filipina dan Thailand, persembahan nyanyian Aina cukup menarik perhatian YouTuber dari England, Poland, India, China dan banyak lagi negara termasuk Korea Selatan.

Mengulasnya, Aina berkata dia tidak menyangka mendapat perhatian meluas sebegitu. Ujarnya, inilah pengaruh media sosial dan platform digital yang menjadi jaringan penyebaran aktiviti seni pada masa kini.

 "Terima kasih kepada semua YouTuber itu, termasuk netizen yang sentiasa memberi sokongan. Apa yang saya lakukan sebagai usaha untuk bakat dan aktiviti nyanyian saya bertahan dan terus dikembangkan.

"Saya masih baru dalam industri ini dan memang minat menyanyi. Selama tujuh tahun cuba membina nama, saya akui bukan mudah dan sangat berusaha gigih untuk menonjolkan bakat. Alhamdulillah, kini saya mendapat banyak maklum balas positif dari pelbagai pihak," katanya kepada Harian Metro.

Pada perkembangan lain, Aina baru melancarkan lagu berjudul Sepi hasil ciptaannya dan lirik ditulis bersama Wan Zakaria kira-kira sebulan lalu dan video muzik di YouTube sudah mencatat lebih 651,000 tontonan dengan lebih 7,000 komen.

"Insha-Allah, lagu Sepi juga akan saya lancarkan dalam bahasa Korea tidak lama lagi. Cuma, sekarang kena tunggu video muziknya siap. 

"Memang jadi kebiasaan saya melancarkan lagu berserta video muzik sekali, supaya pendengar dan penonton lebih memahami jalan cerita karya itu. Saya harap ia akan diterima baik nanti," katanya.

Aina berkata untuk lirik yang ditukar ke bahasa Korea itu, dia meminta bantuan seorang rakannya yang belajar dan kini menetap di negara berkenaan. Katanya selain itu, dia juga adalah peminat lagu-lagu Korea.

Baru-baru ini, menerusi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), Aina dinobatkan naib juara menerusi lagu Semalam hasil ciptaannya sekali gus ia menebus kegagalan lagu Sumpah di pentas AJL34, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 12:19 PM