Ibu bapa Daiyan Trisha bergambar dengan kereta yang dihadiahkan pada mereka.FOTO Instagram
Ibu bapa Daiyan Trisha bergambar dengan kereta yang dihadiahkan pada mereka.FOTO Instagram
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Daiyan Trisha, 28, menghadiahkan ibu bapanya iaitu Mohd Nasaruddin dan Samsiah Mohd Nor sebuah kereta jenama Mercedes Benz semalam, sebagai kejutan ulang tahun perkahwinan yang disambut pada November tahun lalu.

Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin berkata, dia bersyukur akhirnya hajat memberikan kejutan itu tercapai selepas tertunda disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

"Saya menempah kereta itu sejak Disember tahun lalu dan alhamdulillah, akhirnya dapat juga memberikan kejutan kepada ibu bapa saya semalam sebagai hadiah ulang tahun (perkahwinan) mereka.

"Berahsia mengenainya selama beberapa bulan sangat susah. Ditambah, dengan pelaksanaan PKP yang kedua ini, jadi rasa masa tidak sesuai. Tapi, saya fikir sampai bila lagi masa yang sesuai?" katanya.

Berkongsi mengenai kejutan itu menerusi sebuah video di saluran YouTube miliknya, Daiyan turut merakamkan proses membeli kereta berkenaan yang dimulakan sejak Disember, tahun lalu.

Sewaktu memberikan kunci kereta terbabit dalam kotak kecil kepada ibu bapanya, mereka sekeluarga jelas beremosi. Ternyata kejutan dibuat Daiyan itu menjadi untuk membahagiakan ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 6:13 PM