DAIYAN Trisya.
DAIYAN Trisya.
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Pelakon yang juga penyanyi Daiyan Trisya, mengakui banyak merujuk kepada golongan profesional dalam menjiwai watak sebagai seorang doktor dalam drama W: Two World yang bakal ditayangkan November ini menerusi platform penstriman Viu Original.

Daiyan Trisya atau nama sebenar Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 29, berkata dia sering merujuk kepada kakak dan sahabat karibnya untuk mengelakkan sebarang kesalahan dalam membawa watak Doktor Izara yang dipopularkan oleh Han Hyo Joo dalam K-drama W: Two World.

"Saya perlu belajar sendiri demi menjayakan watak seorang doktor dalam drama ini dan Alhamdulillah, kakak dan sahabat saya juga seorang doktor, jadi saya banyak bertanyakan berkenaan profesion doktor kepada mereka.

"Ketika penggambaran berlangsung, saya cuba sebaik mungkin mengelakkan kesalahan yang berlaku kerana watak seorang profesional seperti doktor sememangnya tidak mudah untuk dijayakan dalam sesebuah drama atau filem," katanya ketika ditemui di penggambaran drama W: Two World.

Daiyan turut bersetuju apabila membawa watak profesional pastinya berdepan dengan tekanan dan cabaran sepanjang penggambaran berlangsung.

"Saya sedar penonton sekarang sangat peka dan mereka pantas mengkritik jika pelakon membawa watak sambil lewa dan tidak melakukan rujukan sebelum berlakon.

"Bagi saya, bila dapat watak seorang doktor kalau boleh saya nak pastikan mesej itu sampai dan cara penyampaian itu betul seperti dalam dunia sebenar," katanya.

Tambah Daiyan, dia juga banyak menghabiskan masanya belajar mengenai bidang kedoktoran melalui YouTube sebelum memulakan lakonan drama itu.

Drama fantasi percintaan adaptasi dari Korea Selatan ini W: Two World diarahkan Datuk Yusri Abdul Halim serta menampilkan barisan pelakon popular antaranya Hun Haqeem, Mierul Aiman, Elizabeth Tan, Faizal Hussein, Tony Eusoff dan Shah Kimin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 3:22 PM