ZIZI KIRANA, bersyukur apabila lagu Eh ciptaannya berjaya mara ke pentas AJL35.
ZIZI KIRANA, bersyukur apabila lagu Eh ciptaannya berjaya mara ke pentas AJL35.
Syafil Syazwan Jefri


TEMPOH 11 tahun berada di dalam industri bukanlah jangka masa yang singkat kerana pelbagai dugaan, onak dan ranjau sudah ditempuh penyanyi dikenali, Zizi Kirana ini.

Pernah muncul sebagai penyanyi solo dan kemudian secara berkumpulan, Zizi kini selesa dengan statusnya sebagai penyanyi solo, sekali gus membawa namanya sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

Pentas separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) baru-baru ini menjadi pentas di mana Zizi berjaya membuktikan bahawa dia juga mampu meraih tempat di AJL35.

"Saya sendiri tak menjangkakan apa-apa. Yang pasti, saya dah buat yang terbaik dan menikmati persembahan ketika berada di pentas.

"Terima kasih juga kepada penari yang turut menyumbangkan tenaga dalam persembahan saya. Alhamdulillah, lagu Eh berjaya melangkah ke AJL35," katanya.

Pertama kali berpeluang muncul di AJL, Zizi meluahkan rasa syukurnya kerana ini adalah peluang bermakna buat dirinya.

"Dalam tempoh 11 tahun saya berkecimpung dalam bidang seni, ini kali pertama saya berjaya melangkah ke pentas AJL dan kali pertama juga lagu ciptaan saya berjaya mara," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya yang melebihi sedekad itu, Zizi berkata, tempoh berkenaan cukup mengajarnya pelbagai perkara.

"Banyak pengalaman dan ujian yang saya lalui. Semua itu mengajar saya supaya menjadi orang yang lebih baik dan jangan pernah berhenti berusaha.

"Bila ada usaha kita yang tidak menjadi, sabar dan jangan pernah mengalah.

"Bila tiba masanya, segala usaha kita akan membuahkan hasil dan sekarang, saya dapat lihat hasil kerja keras dibuat kini terbalas," katanya.

Belum merancang apa-apa untuk persembahan di AJL35, Zizi hanya mengharapkan yang terbaik untuk persembahannya.

"Saya belum rancang apa-apa lagi. Apa pun, saya mengharapkan semoga di pentas AJL35 nanti, semua yang bertanding dapat melakukan persembahan terbaik," katanya.

Lagu Eh adalah karya ciptaan Zizi bersama komposer, Navigator manakala liriknya pula adalah hasil nukilan Zizi dan Mambang.

AJL35 akan berlangsung pada 7 Februari tahun depan, bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:09 AM