Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah tampil dengan elemen hujan menerusi lagu Haram dalam Anugerah Juara Lagu 33. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah tampil dengan elemen hujan menerusi lagu Haram dalam Anugerah Juara Lagu 33. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri


“SAYA tak rasa ralat pun bila Di Matamu lebih mendapat perhatian berbanding Haram,”.

Itu luahan penyanyi, Hael Husaini selaku komposer lagu Haram, yang diangkat sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL) ketika diminta memberikan pendapat.

Menurutnya, dia dan rakan duetnya, Dayang Nurfaizah sudah melakukan tugas mereka di pentas serta sudah mendapat liputan meluas.

“Kami dah lakukan kerja sebelum dan ketika berada di pentas AJL33. Juri juga sudah melakukan tugas mereka mengadili kesemua persembahan begitu juga dengan rakan media yang memberikan liputan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu lagi, dia tidak menolak bahawa lagu Di Matamu nyanyian Sufian Suhaimi mempunyai kekuatan tersendiri.

“Lagu itu punya kekuatan tersendiri sehingga membuatkan ramai peminat yang terkesan dengan persembahan Sufian.

“Lagu lain yang bertanding juga sangat kuat. Mungkin tahun ini, rezeki berpihak kepada Haram,” katanya.

Haram adalah lagu ciptaan sepenuhnya Hael dan Ezra Kong yang dinyanyikan secara duet oleh Hael dan Dayang Nurfaizah.

Persembahan Haram di AJL33 Ahad lalu menampilkan kelainan apabila menggunakan konsep menyanyi di dalam hujan yang dibawa ke pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 3:41 PM