HAEL yakin Nabila mampu bawa lagu Peluang Kedua pada final AJL35 dengan lebih baik.
HAEL yakin Nabila mampu bawa lagu Peluang Kedua pada final AJL35 dengan lebih baik.
Syafil Syazwan Jefri


TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal menggantikan penyanyi Nabila Razali di pentas separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) sudah terjawab apabila pencipta lagu itu sendiri, Hael Husaini tampil di tengah pentas menyanyikan lagu berjudul Peluang Kedua itu.

Muncul dengan penampilan serba ringkas, Hael hadir menyampaikan lagu itu dengan caranya sendiri, sekali gus membawakan rendisinya tersendiri.

Tentunya ramai yang sedia maklum mengenai gangguan kesihatan yang dialami Nabila sekali gus memaksa penyanyi asal Peluang Kedua itu untuk berehat atas nasihat doktor.

Layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35), Hael juga belum mempunyai jawapan sama ada dia akan kekal sebagai penyanyi gantian untuk lagu itu atau Nabila sendiri yang akan membuat persembahan.

"Tak tahu lagi sama ada saya akan gantikan atau tidak. Yang penting, sama-sama kita doakan agar Nabila dapat sembuh secepat mungkin dan dia dapat membuat persembahan pada AJL35 nanti," katanya.

Walaupun ramai yang kagum dengan cara pembawaannya di SFMM35, Hael yakin Nabila mampu membawakannya dengan lebih baik.

NABILA alami masalah peti suara.
NABILA alami masalah peti suara.

"Walaupun saya yang hasilkan lagu ini, ia dibuat dan 'dilahirkan' untuk Nabila. Saya yakin pemilik lagu ini lebih sesuai membawakan lagu ini nanti," katanya.

Menggalas tanggungjawab sebagai komposer, Hael juga tidak menjangka tiga lagu ciptaannya berjaya mara ke pentas AJL35.

"Separuh akhir adalah medan tempur yang sangat menakutkan. Saya rasa semua artis yang bertanding tak pernah tahu apa akan terjadi di pentas separuh akhir itu. Alhamdulillah, pada malam itu, rezeki berpihak kepada saya," katanya.

Berbicara mengenai konsep persembahan yang akan dipersembahkan oleh artis yang menyanyikan lagunya, Hael juga belum ada sebarang rancangan.

"Setiap kali nama diumumkan, saya belum fikir apa-apa rancangan lagi mengenai corak persembahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:30 AM