Tyler Perry.
Tyler Perry.
Agensi

Los Angeles: Pelakon Tyler Perry, 51, menderma RM405,000 kepada teman lelaki mendiang Breonna Taylor dikenali Kenneth Walker untuk membantu pembiayaan kes saman dibuat anggota polis, Sarjan Jonathan Mattingly terhadapnya berhubung insiden tembak-menembak pada Mac lalu.

Perry dilaporkan membuat transaksi wang itu secara berasingan menerusi laman GoFundMe selang beberapa minit. Transaksi pertama berjumlah RM40,000, diikuti  RM40,000 lagi, kemudian RM203,000, dan RM122,000.

Pelakon terbabit menyalurkan bantuan itu untuk digunakan Walker dalam kes menentang fail saman terhadapnya yang dibuat Mattingly.

Pada Oktober lalu, Mattingly menyaman Walker atas tuduhan gangguan, ancaman, dan tekanan emosi selepas insiden tembak-menembak di kediaman Walker sehingga mengorbankan Taylor pada Mac lalu.

Anggota polis terbabit mendakwa dia terkena tembakan di bahagian kakinya yang dilepaskan Walker. Insiden itu berlaku sewaktu anggota polis terbabit menyerang hendap kediaman berkenaan untuk tujuan siasatan mengenai pemilikan dadah.

Mattingly hanya satu-satunya pegawai tercedera dalam insiden itu yang disangka Taylor sebagai percubaan rompakan. Bagaimanapun, polis terbabit menyalahkan Taylor apabila dia melepaskan tembakan itu.

Disebabkan tembakan balas polis terbabit, Taylor meninggal di tempat kejadian. Mendiang tidak memiliki sebarang rekod jenayah dam dadah juga tidak dijumpai langsung dalam kediaman pasangan terbabit.

Dalam pertuduhan itu, tindakan Walker disifatkan melulu, tiada timbang rasa, serta bertentangan dengan nilai kesopanan dan moral.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 11:24 AM