Tun Mohamad Hanif Omar (empat kanan) menyampaikan sumbangan  kepada Sarjan Norihan Tari (dua kiri) disaksikan oleh Presiden RESPA, Tan Sri Datuk Mohamad Ismail Che Rus (tiga kanan) dan Komander Bridged Utara,Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Ghani Mohamad Ji (dua kanan) di Mes Pegawai Kanan Kem Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA), dekat sini. FOTO Rosman Shamsudin
Tun Mohamad Hanif Omar (empat kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Norihan Tari (dua kiri) disaksikan oleh Presiden RESPA, Tan Sri Datuk Mohamad Ismail Che Rus (tiga kanan) dan Komander Bridged Utara,Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Ghani Mohamad Ji (dua kanan) di Mes Pegawai Kanan Kem Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA), dekat sini. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Bidor: Semangat dan tindakan berani dua anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara sewajarnya menerima sanjungan tinggi kerana sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara daripada penjenayah rentas sempadan.

Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Tan Sri Mohd Ismail Che Rus berkata, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, dan Sarjan Norihan a/l Tari, 39, sanggup berkorbabn nyawa untuk mempertahankan negara.

"Kedua-dua anggota ini mempamerkan tahap komitmen tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara.

"Walaupun hanya berdua, namun mereka tidak gentar berhadapan dengan penyeludup yang bersenjata api serta berjuang membalas serangan dengan penuh berani demi kedaulatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kebajikan RESPA di Mes Pegawai Kanan Kem Batalion 3 Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, dekat sini.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Penasihat RESPA, Tun Mohamad Hanif Omar kepada Norihan dan Relow Ko yang juga balu mendiang Baharuddin Ramli.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mazlan Santarai, Komander PGA Briged Utara Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji dan Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Rosman Kasman.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ismail berkata, pihaknya berjaya mengumpul RM30,000 menerusi tabung kutipan yang dilancarkan sebaik kejadian menimpa dua anggota PGA terbabit mulai tersebar.

"RESPA yakin pengorbanan dua anggota PGA ini bakal menanam semangat jitu kepada seluruh anggota polis untuk berkhidmat dalam mempertahankan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara," katanya.

Dalam kejadian 3.10 pagi pada 24 November lalu, dua anggota Senoi Praaq itu terbabit dalam serangan tembak-menembak dengan penyeludup berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis.

Baharuddin terkorban akibat ditembak di perut, manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.5 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 7:55 PM