KONSULAT AS di Jeddah. FOTO fail AFP
KONSULAT AS di Jeddah. FOTO fail AFP
AFP

Jeddah: Seorang pengawal keselamatan dan lelaki bersenjata terbunuh dalam kejadian tembak-menembak di hadapan konsulat Amerika Syarikat (AS) di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Jabatan Negara AS mengesahkan tiada rakyatnya yang cedera dalam kejadian tembakan di luar konsulat itu.

Susulan kejadian, konsulat itu dikawal ketat.

"Pada 6.45 petang waktu tempatan, seorang lelaki berhenti di dalam kereta di hadapan bangunan konsulat dan keluar dengan senjata pada tangannya.

"Pasukan keselamatan bertindak balas... mengakibatkan insiden tembak-menembak yang membunuh penyerang," lapor agensi berita Saudi memetik seorang jurucakap polis.

Seorang pegawai keselamatan Nepal cedera dan kemudian meninggal dunia, katanya.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang kepada anggota pengawal tempatan yang meninggal dunia," kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan di Washington.

Jabatan Negara AS memaklumkan tentera Arab Saudi membunuh penyerang itu,

Serangan itu berlaku ketika Arab Saudi menerima kehadiran 1.8 juta umat Islam untuk menunaikan haji di Makkah kira-kira 70 kilometer (km) dari Jeddah.

Konsulat AS di bandar pantai Jeddah di Laut Merah menjadi sasaran serangan pada 4 Julai 2016 iaitu pada ulang tahun Hari Kemerdekaan AS, apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya.

Pada Disember 2004, satu lagi serangan menyebabkan lima individu terbunuh.

Jeddah, baru-baru ini, menjadi hab aktiviti diplomatik AS ketika negara itu dan Arab Saudi bersama-sama cuba menjadi pengantara untuk pihak yang berperang di Sudan.

Setiausaha Negara Antony Blinken melawat Jeddah, awal bulan Jun, apabila bertemu Putera Mahkota Mohammed Salman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 11:24 AM