POLIS menahan  suspek berhampiran Sholakia Eid di Kishoreganj.
POLIS menahan suspek berhampiran Sholakia Eid di Kishoreganj.
AFP

Dhaka: Empat termasuk dua polis dan seorang wanita terbunuh dalam serangan bom disyaki oleh kumpulan pelampau ketika umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di Dhaka, semalam.

Seorang penyerang maut manakala 12 polis dan orang awam dilaporkan cedera dalam serangan itu yang menyasarkan anggota keselamatan yang menjaga kira-kira 200,000 jemaah - perhimpunan terbesar meraikan Aidilfitri - di Kishoreganj digelar Sholakia Eid.

Menurut laporan, letupan dan tembak-menembak berlaku di sekolah tidak jauh dari lokasi solat Aidilfitri dihadiri sekurang-kurangnya 200,000 muslim di Kishoreganj, Dhaka, namun tidak menjejaskan jemaah yang menunaikan ibadah.

Timbalan Ketua Polis Kishoreganj, Tofazzal Hosain berkata, beberapa orang terbabit dalam kejadian itu dan ada yang membawa parang - kaedah serangan kumpulan militan Islam di Bangladesh.

“Mereka membaling bom ke arah polis sebelum menyerang menggunakan parang yang dibalas dengan tembakan,” katanya.

Stesen televisyen swasta, Somoy menyiarkan rakaman tembak-menembak antara polis dan penyerang selain melaporkan anggota yang maut ditetak mati.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab, namun ia tidak sampai seminggu selepas 20 warga asing dan dua polis terbunuh dalam serangan di kafe ala Barat di ibu negara itu.

Bangladesh dalam keadaan berjaga-jaga sejak serangan lewat Jumaat lalu itu dan kebanyakan khutbah sempena Aidilfitri yang disambut semalam di Bangladesh termasuk gesaan ulama supaya keganasan tidak berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:49 AM