LALUAN berhampiran lokasi kejadian seorang lelaki yang cuba menceroboh pejabat FBI ditambak mati. FOTO AP
LALUAN berhampiran lokasi kejadian seorang lelaki yang cuba menceroboh pejabat FBI ditambak mati. FOTO AP
AFP

Washington: Polis menembak mati lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas cuba menceroboh pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Ohio.

Ia selepas pihak berkuasa dan suspek berbalas tembakan di satu lokasi.

Insiden itu menarik perhatian ramai kerana ia berlaku beberapa hari selepas FBI menggeledah kediaman bekas presiden Donald Trump di Florida, membangkitkan kemarahan penyokongnya, walaupun tiada bukti bahawa ia mempunyai kaitan dengan kejadian terbaharu berkenaan.

FBI pada pagi Khamis berkata, seorang lelaki bersenjata cuba menceroboh pintu masuk ke pejabat biro berkenaan di Cincinnati, Ohio.

"Selepas penggera diaktifkan dan tindak balas oleh ejen khas bersenjata FBI, suspek melarikan diri," kata FBI dalam satu kenyataan.

Menurut media tempatan, lelaki itu melepaskan pistol paku dan menghalakan raifal jenis gaya AR-15 sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.

Menurut polis, pihak berkuasa mengejar kereta itu dan kenderaan berkenaan berhenti di kawasan luar bandar.

"Selepas kereta itu berhenti, berlaku tembak-menembak antara pegawai dan suspek," katanya.

Pegawai kemudian cuba berunding dengan suspek tetapi lelaki itu tidak mahu menyerah diri.

Selepas suspek mengangkat raifal ke arah polis, pegawai menembak lelaki itu dan dia meninggal dunia di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 9:38 AM