ERRA Fazira. FOTO Arkib NSTP
ERRA Fazira. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi terkenal Erra Fazira, 46, mengakui dia bukanlah seorang yang mudah lupa diri serta melupakan jasa individu-individu yang pernah membantu menaikkan namanya dalam industri hiburan tanah air. Erra berkata, ini antara faktor utama dia menerima tawaran terbaru Datuk Yusof Haslam untuk membintangi drama Gerak Khas The Finale sebagai ASP Jeslina.

"Saya kena ingat dari mana asal usul saya. Datuk Yusof adalah orangnya yang menggilap bakat saya sehingga menjadi seorang pelakon. Saya tak lupa itu.

"Saya juga amat berbesar hati apabila diundang berlakon dalam siri ini. Apatah lagi ia musim terakhir Gerak Khas. Ketika saya menyertai siri kepolisan popular ini, nama-nama pelakon lain sudah cukup besar.

"Saya terbabit dengan Gerak Khas bermula menerusi filem Gerak Khas The Movie (GKTM). Apabila Datuk Yusof mengajak berlakon siri drama pula, saya tanya bolehkah kerana Inspektor Shafikah sudah mati? Tapi beliau kata pandai-pandailah dia goreng (reka watak). Dia memang seorang yang kreatif," katanya menerusi sesi temubual secara virtual bersama media yang berlangsung dari Sri Pentas TV3, kelmarin.

Gerak Khas The Finale yang mengandungi 28 episod ditayangkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 10.30 malam sejak 4 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun sudah lama dalam industri hiburan tanah air, dia merasakan seperti orang baru apabila berlakon dalam siri drama ini.

"Banyak juga saya belajar dengan mereka yang lebih lama dalam siri ini. Lama-kelamaan barulah saya dapat menyesuaikan diri.

"Untuk musim ini, beliau tampilkan aksi-aksi yang sesuai dengan usia saya. Kiranya saya tidaklah rasa terlalu terbeban. Saya juga sudah lama tak berlakon dengan Skop Productions. Ibaratnya saya seperti sirih pulang ke gagang.

"Mengapa tidak saya kembali berlakon satu siri yang bukan calang-calang pengaruhnya dalam kalangan penonton. Saya percaya beliau pasti menggarap lakonan saya sebaiknya. Itulah punca saya tampil kembali dalam siri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Erra yang kali terakhir tampil dengan single Menangkah Cinta berkata, dia kini tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

"Sekarang saya sedang mencari lagu yang sesuai dengan komposer. Kalau kena dengan jiwa, saya pasti akan rakam. Ataupun mungkin saya tak nak buat single lagi kerana dah bosan.

"Mungkin juga saya akan hasilkan sebuah album mengandungi 10 lagu untuk peminat. Tahun 2021 saya ada hasrat untuk hadiahkan sesuatu kepada peminat.

"Dari segi lakonan pun saya masih aktif biarpun tak seaktif dulu. Tahun ini saya banyak berehat tapi tahun 2021 saya nak mara ke hadapan dalam lakonan dan nyanyian. Apapun semuanya bergantung kepada situasi penularan Covid-19 juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 5:41 PM