DEEN Maidin tidak terikat dengan syarikat Skop Productions. FOTO Ihsan Deen Maidin
DEEN Maidin tidak terikat dengan syarikat Skop Productions. FOTO Ihsan Deen Maidin
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Deen Maidin meluahkan keinginannya untuk berlakon dengan pengarah lain seperti Michael Ang dan sebenarnya tidak terikat dengan syarikat Skop Productions.

Deen atau nama sebenarnya Shamsudin Maidin, 54, mengakui ramai yang tersalah anggap berkenaan perkara itu sedangkan Datuk Yusof Haslam tidak pernah mengawalnya, malah memberikan lampu hijau untuknya berlakon dengan produksi lain.

“Saya pun tiada kontrak dengan mereka dan apabila ada tawaran berlakon drama terbitan Skop Productions barulah diberikan bayaran.

“Ia sama seperti Zul Ariffin dan Erra Fazira kerana kami lebih senang begini. Yang mana terikat dengan kontrak itu lainlah kerana saya ada kerja lain perlu dibuat.

“Untuk berlakon dengan produksi luar memang tiada apa-apa isu sebenarnya. Sekiranya ada tawaran berlakon, saya boleh maklumkan kepada Datuk Yusof dan dia faham,” katanya kepada Harian Metro.

Deen yang popular menerusi watak Detektif Lingam dalam siri popular Gerak Khas tidak menafikan salah faham yang berlaku membuatkan produksi lain takut untuk menawarkannya berlakon.

“Saya suka juga bekerja dengan penerbit lain dan berminat nak berlakon di bawah arahan Michael Ang kerana dia seorang yang unik dan mempunyai idea kreatif,” katanya.

Bagaimanapun Deen gembira kerana Skop Productions membuka peluang kepada pengarah lain untuk mengarahkan siri Gerak Khas sekarang.

Katanya, baru-baru ini Rashid Sibir serta Aziz M Osman mengarahkan Gerak Khas dan sentuhan mereka agak berbeza daripada yang sebelumnya seperti Majid Salleh dan Kumaresen.

“Alhamdulillah baru-baru ini Mawi membuka peluang buat saya membintangi drama Rock Sangkut dan filem Tiada Tajuk. Saya dah berada dalam industri selama 37 tahun dan banyak berlakon watak jahat. Kemudiannya saya berlakon drama kepolisan sebagai anggota polis dan selepas itu tidak lagi ditawarkan watak jahat.

“Seterusnya Mawi berani buat perubahan ambil saya bawa watak komedi dalam produk terbitannya. Mawi juga berjaya membuai perasaan penonton menerusi telefilem Pak Nil Ibu Kirim Salam,” katanya yang mahu mempelbagaikan karakter lakonannya.

Deen asalnya bermula sebagai kru penataan cahaya dengan Perfima Filem. Dia kemudiannya membintangi filem Matinya Seorang Patriot dan menjadi pelakon tambahan filem Mekanik yang turut dibintangi oleh Yusof.

“Dari situ beliau membayangkan untuk terbitkan drama kepolisan dan tawarkan saya berlakon watak orang India dalam drama Remang-Remang Kotaraya.

“Kemudian saya berlakon watak jahat pula dan muncul dalam filem Maria Mariana 2 bersama Roy Azman. Ketika itu kami menggunakan motosikal berkuasa besar.

“Datuk Yusof kebetulan nak buat drama Roda-Roda Kuala Lumpur sebagai anggota polis. Dia tanya saya sama ada mempunyai lesen B penuh dan saya memang ada lesen yang dimaksudkan,” katanya.

Deen bagaimanapun memberitahu Yusof yang dia tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kerana mempunyai kerjaya lain dan pengarah terkenal itu bersetuju memberikan pelepasan kepadanya mengikut kelapangan.

“Selepas itu saya ditawarkan pula berlakon Gerak Khas sebagai anggota polis. Apabila jadi polis memang sukar nak dapat tawaran watak jahat. Tapi saya minta juga pada Datuk Yusof untuk watak jahat dalam filem KL Gangster.

“Baru-baru ini saya berlakon filem Abang Long Fadil 3. Saya susah nak berlakon dengan produksi lain kerana bekerja sebagai penyelenggara bangunan di syarikat milik sepupu di hospital dan pelbagai lokasi lain.

“Sepanjang Syawal saya sibuk berniaga lemang Gerak Khas di Bandar Baru Ampang. Alhamdulillah sambutan agak menggalakkan,” katanya.

Deen berkahwin dengan Haslina Laili dan dikurniakan tiga anak iaitu Umar Farouq, 29; Umeir Fazeel, 24; Umairah Fairuz, 19, dan mempunyai seorang cucu, Luthfia Nur Medina, dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 7:06 PM