YUSOF Haslam, penerbit Skop Production.
YUSOF Haslam, penerbit Skop Production.
Norhayati Nordin


Sebut saja drama bersiri Gerak Khas, pasti ramai mengingati karya ini. Bukan hanya jalan cerita dipaparkan, tetapi dialog, pelakon dan lagu temanya hingga kini terus segar di minda.

Apatah lagi, drama bertemakan kepolisan yang aktif membanteras jenayah dalam negara ini dianggap amat unggul kerana sudah bertahan diterbitkan selama 23 tahun.

Malah, pada awal tahun ini produksi Skop Production menerbitkan siri Gerak Khas The Finale yang ditayang buat julung kali di stesen baharu iaitu TV3 selepas sekian lama disiarkan di stesen TV kerajaan.

Berjaya meraih sambutan penonton sangat menggalakkan di TV3, penerbit Gerak Khas iaitu Datuk Yusof Haslam juga pernah memaklumkan dia mahu menamatkan siri 'legenda' ini pada tayangan Gerak Khas The Finale yang berakhir Mac lalu.

Namun, menyedari betapa kukuhnya jenama siri Gerak Khas di hati rakyat Malaysia tidak kira peringkat umur dan bangsa, Yusof akhirnya tampil dengan inisiatif baharu menerbitkan karya hebat ini dengan judul sama, namun memuatkan jalan cerita berbeza.

Mulai Jumaat lalu, TV3 sudah mula menyiarkan siri terkini dikenali Gerak Khas Undercover yang menemui penonton pada jam 10.30 malam, dengan 30 episod dijanjikan berkisar pada kisah 'penyamaran' untuk membanteras jenayah.

"Saya tak nafikan memang pernah memberitahu siri ini tamat selepas Gerak Khas The Finale. Bagaimanapun, permintaan daripada penonton masih diterima dan rasa sayang pula ditamatkan begitu saja kerana jenamanya juga sudah amat kukuh.

ERRA antara pelakon sinonim dengan siri Gerak Khas.
ERRA antara pelakon sinonim dengan siri Gerak Khas.

"Namun, alhamdulillah anak saya, Syafiq sedia berkongsi ideanya untuk siri Gerak Khas diteruskan, tetapi dengan memberi suntikan nafas baharu. Antaranya, jalan cerita kena lebih relevan dengan kisah penyiasatan masa kini termasuk barisan muka baharu polis yang beraksi.

"Selain itu, dipastikan juga drama ini dihasilkan oleh sentuhan ramai pengarah berkaliber kerana membuat drama berkisar kerjaya polis tidak mudah. Jalan cerita, skrip, penggunaan bahasa dan hasil rakaman yang sudah siap perlu dirujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu," katanya.

Menurut Yusof, setakat ini enam episod sudah siap sepenuhnya dan boleh ditayangkan kepada penonton kerana PDRM sudah menelitinya dan berpuas hati. Malah, ada lapan episod lagi perlu dibuat penambahbaikan semula agar lebih sesuai untuk tayangan.

Ujarnya yang lebih selesa terus optimis, dia kini mengharapkan siri Gerak Khas Undercover terus mendapat sambutan baik daripada penonton. Yusof berkata dari dulu sampai sekarang, produksinya sangat menitikberatkan semua mutu produk drama dihasilkan.

Sehubungan ini, bagi siri Gerak Khas Undercover membariskan pelakon seperti Erra Fazira, Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Salina Saibi, Elizabeth Tan, Raja Afiq dan ramai lagi. Lagu tema baharu pula dicipta dan dinyanyikan oleh Syamsul Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:46 AM