Ridzuan Abdul Rahman

PUBLISITI mengenai Salina Saibi dilihat kurang berbanding artis lain sehingga peminat hampir terlupa kewujudannya dalam industri lakonan tanah air.

Namun, Salina, 39, tidak terasa hati dengan situasi ini. Malah, tanpa publisiti meluas, rezekinya dalam bidang lakonan tetap berjalan lancar.

"Jujurnya saya tak terasa sangat kerana kalau orang tak sedar kewujudan saya dalam bidang lakonan, takkanlah saya terima banyak tawaran.

"Tak dinafikan saya didatangi banyak tawaran dari pelbagai produksi sampai tak terbuat pun ada. Buat masa ini saya terbabit dengan penggambaran tiga drama iaitu Perisik Cinta Tak Diundang, Gerak Khas Undercover dan Jangan Ganggu Jodohku adaptasi dari novel," katanya.

Salina berkata, selebihnya dia juga sibuk dengan perniagaan produk vitamin C dan korset yang menjadi sumber pendapatan lain buatnya.

"Alhamdulillah rezeki tetap ada. Dulu saya sibuk dengan siri kepolisan Gerak Khas (GK) sehinggakan produksi lain tak berani nak ambil sebab faham perjalanan penggambarannya.

"Episodnya juga panjang dan saya pun bawa watak utama. Banyak yang saya kena fokus. Bila dah habis GK banyak tawaran yang datang dari pelbagai stesen TV.

"Ada saja tawaran berlakon, cuma publisiti di media agak kurang kerana saya sendiri mungkin tak banyak cerita untuk ditulis. Namun, itu bukan masalah besar. Saya okay saja kerana saya bukan gila glamour sangat," katanya.

Pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini berkata, dia selesa begini kerana perlu membahagi masa antaranya untuk keluarga, perniagaan dan penggambaran.

"Ini pilihan saya dan saya kena pandai mengaturkannya. Begitu juga dengan watak yang dilakonkan. Memang saya suka bawa watak berlainan.

"Contohnya sekarang, saya bawa watak hantu, watak saka yang cantik, watak jahat dan banyak lagi. Baru-baru ini pun saya bawa watak emak tiri yang jahat.

SALINA tidak sangka watak sebagai anggota polis bersambung lagi menerusi Gerak Khas Undercover.
SALINA tidak sangka watak sebagai anggota polis bersambung lagi menerusi Gerak Khas Undercover.

"Ia amat mengujakan kerana luar dari watak polis. Selain itu, saya juga suka watak kelakar serta sedih dan menanti juga tawaran watak ini pada masa akan datang," katanya.

Isteri kepada Azmir Osman dan ibu kepada Farah Syakira dan Farah Aqeela ini mengakui terbabit dalam tiga drama pun sudah membuatkan jadualnya padat.

"Rasanya dalam sebulan ambil dua tawaran berlakon pun dah cukup kerana takut ganggu yang lain. Saya tak nak menyusahkan mana-mana pihak.

"Dari sisi lain, saya sebenarnya sukakan watak kelakar. Ketika penggambaran bawa apa-apa watak pun, saya akan selitkan komedi sedikit supaya pengarah nampak yang saya boleh bawa pelbagai watak. Dalam Gerak Khas Undecover pun saya selitkan komedi. Cara saya pun berbeza dari ASP Salina yang dulu. Pada mulanya saya ingat dah habis berlakon cerita polis," katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka wataknya sebagai anggota polis bersambung lagi menerusi Gerak Khas Undercover pula.

"Rezeki saya apabila Datuk Yusof Haslam kata saya dan Erra Fazira diambil berlakon dalam cerita ini. Alhamdulillah memang saya pun suka watak polis ini. Tapi, agak berbeza kerana kami pakai baju preman dan rambut pun boleh perang. Karakter di situ gila-gila dan komedi sedikit, tapi sifat tegas tetap ada kerana namanya pun polis.

"Tidak macam Gerak Khas dulu kerana saya dah naik pangkat sebagai DSP Salina," katanya yang turut teruja menanti Penunggang Agama 2 ditayangkan.

Masih bertahan

Ketika berbual dengan beberapa pelakon senior baru-baru ini, Salina dikejutkan dengan kenyataan mereka yang dia masih bertahan dan relevan dalam bidang lakonan.

"Kata mereka, cuba sebut siapa lagi pelakon seangkatan saya yang masih sibuk berlakon. Saya sebut beberapa nama yang masih saya ingat dan mereka kata yang itu semua dah masuk 'muzium'.

"Hanya saya yang ada tawaran dan masih pegang watak utama. Saya menjadi pelakon dari 1999 dan pada kata-kata mereka itu satu penghormatan.

"Syukur orang masih nak saya. Tapi, saya kena bertahan dalam segi lakonan dan disiplin dari segi pemakanan.

"Jadi, banyak watak yang saya boleh bawa dan bukan terikat pada satu watak. Bila dah berusia biasanya diberi watak emak pula. Perkara itu kita kena jaga Insya-Allah adalah watak menarik untuk kita," katanya.

Salina berkata, dia juga tidak mengamalkan diet yang teruk dan bukan seorang yang suka makan pada waktu malam.

"Saya makan nasi seminggu sekali dua sahaja. Saya bukan pemakan nasi. Saya juga tak suka makanan bergoreng, berminyak serta ambil garam dan gula dalam kadar tinggi.

"Selain itu, saya juga tolak air gas, makanan dalam tin dan berkarbonat. Saya amalkan pemakanan sihat bukan untuk kurus semata-mata, tapi juga untuk kesihatan masa akan datang.

"Saya selalu buat senaman di rumah dan lebihkan makan sayuran dan makanan lebih fiber. Tak ketinggalan saya amalkan pakai korset jenama saya sendiri untuk kekalkan bentuk badan dan kecilkan pinggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 6:00 AM