MASIH baharu dalam kerjaya nyanyian, Zack tekad terus timba ilmu dan pengalaman.
MASIH baharu dalam kerjaya nyanyian, Zack tekad terus timba ilmu dan pengalaman.
Oleh Norhayati Nordin


PENULARAN pandemik Covid-19 dalam negara pada tahun ini, cukup memberi kesan pada semua orang, berikutan banyak sektor pekerjaan yang terjejas.

Tidak terkecuali, industri hiburan juga berhadapan masalah 'hilang kerja' apabila penyanyi sudah tidak berpeluang membuat persembahan secara terbuka untuk ditonton peminat.

Apapun, kemunculan penyanyi baharu di pentas nyanyian tanah air masih mendapat perhatian. Bahkan, video muzik dilancarkan mereka di YouTube juga diterima baik penonton.

Namun, bagi peminat penyanyi Zack Zakwan, pasti merindui kehadiran penyanyi berusia 25 tahun ini dengan lagu solo terbaharunya. Ditambah, sudah agak lama juga dia seakan menyepi daripada publisiti.

Tahun lalu, Zack atau nama sebenarnya Muhamad Shahrul Mohd Zakuan cukup menjadi perhatian ramai dengan lagu berjudul Kenangan. Karya ciptaan Haqiem Rusli itu berjaya memberi peluang Zack memahat nama dan bakatnya.

Berbicara perkembangan kerjayanya, Zack berkata, dia masih lagi aktif dalam bidamg seni. Cuma, tahun ini perancangan agak terbatas kerana Covid-19. Ujarnya, banyak yang perlu diatur semula.

"Saya tidak menyepi dalam karier nyanyian, malah ada juga buat perkongsian di media sosial seperti Instagram. Cuma, kisah saya tak banyak disiarkan media.

ZACK ZAKWAN, teruja muncul dengan lagu duet berjudul Bagaimana.
ZACK ZAKWAN, teruja muncul dengan lagu duet berjudul Bagaimana.

"Bagaimanapun, bagi mengubat rindu peminat saya muncul dengan lagu duet berjudul Bagaimana bersama penyanyi Muna Shahirah. Alhamdulillah, lagu itu mendapat sambutan baik.

"Perancangan untuk lagu solo memang ada, tetapi bergantung pada syarikat rakaman, FMC Music. Apapun, saya ucap terima kasih kepada pendengar yang menyokong lagu Bagaimana," katanya.

Menurut Zack, sejujurnya dia sangat teruja dapat merakamkan lagu Bagaimana itu yang bergenre balada dan sesuai dengan jiwanya. Ditambah, melodi juga sangat indah.

"Peluang dapat merakamkan lagu Bagaimana benar-benar mengembalikan semangat saya untuk bangkit dan meneruskan perjuangan dalam kerjaya nyanyian yang diminati.

"Pertama kali, saya mendengar melodi dan membaca lirik lagunya sudah membuat bulu roma meremang, seolah-olah ada 'roh' di dalam lagu ini," katanya.

Ujarnya, berganding dengan rakan duet seperti Muna, diakui tiada masalah untuk membentuk keserasian dalam paduan suara dengan mudah. Jelasnya, mereka saling bekerjasama.

"Terus-terang, ia memberi saya kekuatan dan keyakinan yang tinggi. Lagu ini, ternyata memiliki auranya tersendiri. Malah, lirik juga puitis dan saya amat sukakannya. Bagi saya, karya lagu ini sudah terbaik," katanya.

Zack yang mengakui pembabitannya masih 'hijau' dalam kerjaya nyanyian juga sedia menimba ilmu serta pengalaman dengan giat. Ujarnya, semoga dia terus mendapat peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:25 AM