LAGU Bagaimana kini sandaran harapan Muna dan Zack.
LAGU Bagaimana kini sandaran harapan Muna dan Zack.
Norhayati Nordin

Selepas muncul dengan tiga lagu solo iaitu Takdir Cinta, Teguh Setia dan Suratan Luka, Muna Shahirah kini tampil mempertaruhkan lagu duet berjudul Bagaimana.

Berganding dengan Zack Zakwan yang pernah popular dengan lagu Kenangan, Bagaimana adalah hasil ciptaan bersama Gouffran dan Sang Hitam.

Mengulas kerjasama itu, Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi, 26, berkata, dia melihat sudah tiba masa untuk muncul dengan lagu duet seperti penyanyi lain.

"Saya tidak mengikut orang atau 'trend', tetapi saya rasa inilah peluang baik yang tidak wajar dilepaskan. Apatah lagi, saya tertarik dengan karya lagu Bagaimana.

"Sebaik diperdengarkan melodi lagu Bagaimana, ia terus menambat hati saya. Malah, untuk lagu ini saya mendapat kepercayaan merakamkannya secara duet," katanya.

Memaklumkan dia juga tidak memilih siapa rakan duetnya, Muna berkata, dia berharap vokal penyanyi lelaki digandingkan dengannya serasi.

"Sebagai pasangan penyanyi duet, saya melihat keserasian vokal dalam lagu dinyanyikan sangat penting. Menerusi keserasian itu, pasti persembahannya sepenuh jiwa.

"Memandangkan saya sangat fokus pada komitmen kerja, mestilah saya turut meletakkan harapan pada lagu duet ini. Apa-apa pun, saya gembira berduet dengan Zack.

MUNA dan Zack memiliki keserasian vokal.
MUNA dan Zack memiliki keserasian vokal.

"Paduan vokal kami serasi dan ketika merakamkan lagu Bagaimana, kami dapat merakamkannya dengan baik dan alhamdulillah tiada masalah. Segala urusannya lancar," katanya.

Muna berharap lagu itu mendapat sambutan baik pendengar muzik tanah air dan peminatnya.

Katanya, dia juga yakin lagu ini ada aura dan potensi tersendiri.

Bagi Zack, 25, pula, dia sangat teruja merakamkan lagu Bagaimana yang bergenre balada dan sesuai dengan jiwa.

"Ia benar-benar mengembalikan semangat saya untuk bangkit dan meneruskan perjuangan dalam kerjaya nyanyian yang diminati. Pertama kali mendengar melodi dan baca lirik lagunya membuatkan bulu roma saya meremang, seolah-olah ada roh di dalam lagu ini.

"Ia memberi saya 1,000 kekuatan dan keyakinan. Saya mendoakan yang terbaik buat lagu ini supaya mudah diterima dan akan mesra radio juga," katanya.

Zack atau nama sebenarnya Muhamad Shahrul Mohd Zakuan berkata, pembabitannya dalam kerjaya nyanyian masih baru dan perlu gigih menimba ilmu serta pengalaman.

Video muzik rasmi Bagaimana sudah dilancarkan pada 23 Oktober lalu di saluran YouTube FMC Music. Hingga kini, ia mencatat lebih 100,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:25 AM