LAGU Entah Apa gandingan duet terbaharu Sarah bersama Aepul Roza.
LAGU Entah Apa gandingan duet terbaharu Sarah bersama Aepul Roza.
Norhayati Nordin


MESKIPUN kerjaya nyanyiannya masih aktif, kebelakangan ini nama penyanyi Sarah Suhairi, 20, seakan menyepi dan kurang diperkatakan.

Barangkali tiada lagi gosip cinta dikaitkan dengannya, termasuk belum ada lagu solo terbaharu dilancarkan membuat Sarah dilihat seolah-olah 'senyap' daripada radar industri hiburan.

Hakikatnya, Sarah yang pernah popular dengan lagu seperti Pedih, Nyawa dan Raga serta Rise And Fall tetap muncul dengan karya baharu untuk terus menghiburkan peminatnya.

Sekitar dua bulan lalu, Sarah tampil dengan lagu duet berjudul Entah Apa yang menggandingkan dia bersama vokalis Drama Band, Aepul Roza. Malah, lagu itu turut menjadi lagu tema drama Ryan Aralyn di TV3.

Berbicara soal itu, Sarah berkata dia bersyukur kerjaya seninya masih 'bersinar' di kala negara dilanda penularan pandemik Covid-19 ketika ini, yang mana banyak 'show' dibatalkan supaya orang ramai tidak berkumpul.

"Alhamdulillah, setakat ini karier nyanyian saya berjalan dengan baik. Cuma, tidak dinafikan nama saya nampak macam 'sepi' kerana tidak muncul dengan lagu solo baharu, tetapi lebih menjurus pada karya duet.

"Pada tahun lalu, saya tampil dengan lagu duet berjudul Bicara Rasa bersama Ariff Bahran, kemudian lagu Satu Di Hati pula, masih duet dengan Ariff Bahran lagi dan baru-baru ini, lagu Entah Apa.

"Mungkin fokus pada beberapa lagu duet itu menyebabkan saya seakan kurang menyerlah secara peribadi, namun lagu-lagu itu yang mendapat perhatian daripada pendengar," katanya.

JADUAL kerja Sarah Suhairi masih lancar walaupun ketika pandemik.
JADUAL kerja Sarah Suhairi masih lancar walaupun ketika pandemik.

Menurut Sarah lagi, apapun dia sangat gembira terhadap penerimaan positif pendengar teehadap lagu Entah Apa berikutan, video muzik lagu itu yang dimuat naik di YouTube Rusa Music sudah mencecah 4.3 juta tontonan.

Ditanya pula mengenai lagu solonya, Sarah yang juga juara Big Stage musim pertama pada 2018, berkata dia sudah merakamkan lagu baharu berjudul Mungkin yang akan dilancarkan sekitar Januari, tahun depan.

"Saya teruja nak lancarkan lagu baharu yang 'catchy' dan sedap didengar hasil ciptaan Ariff Bahran, Rinkarnaen dan Zack Merican tidak lama lagi. Terus-terang, lagu itu kena dengan jiwa saya sebaik diperdengarkan melodinya.

"Memang saya tak sangka akan muncul dengan lagu hasil ciptaan rakan sendiri. Saya amat berterima kasih dengan Ariff Bahran, Rinkarnaen dan Zack kerana sudi memberikan lagu ciptaan mereka dan yakin dengan vokal saya.

"Bagi saya lagu solo baharu yang bergenre balada ini sarat dengan mesej tersendiri walaupun masih berkisar pada kisah cinta. Semoga lagu ini diterima baik pendengar nanti," katanya.

Mengulas juga kerjasama dengan tiga komposer sekali gus, kata Sarah mereka senang berbincang dan segala urusan berjalan lancar. Menurutnya, penceritaan dalam lagu itu pun mudah difahami kerana berkait rapat dengan pengalaman hidup.

"Bagaimana ilham lagu itu diperoleh, hanya komposer sahaja yang tahu. Sebagai penyanyi, saya tertarik kerana melodi dan liriknya yang mantap. Malah, saya juga sudah berusaha merakamkan lagu ini dengan baik," katanya.

SARAH akan lancar lagu solo berjudul Mungkin tahun depan.
SARAH akan lancar lagu solo berjudul Mungkin tahun depan.

Cuba pengacaraan

Selain menyanyi, Sarah juga sebelum ini pernah mengembangkan bakat seninya dalam bidang lakonan dengan membintangi drama kanak-kanak berjudul Salam Squad 2.0 di Astro Ceria.

Percubaan itu boleh dianggap berjaya buat Sarah kerana lakonannya diterima baik penonton. Bagaimanapun, Sarah juga ada berlakon drama pendek di YouTube berjudul Rusa After Class yang kini masuk musim kedua.

Bercerita pengalaman berlakonnya, Sarah berkata dia makin seronok kerana berpeluang menimba banyak ilmu baharu. Malah, rakan pelakon lain juga sentiasa membantu.

"Berlakon agak menyeronokkan juga. Namun, sekarang saya cuba nasib pula dalam bidang pengacaraan. Alhamdulillah, saya dapat peluang mengacarakan program hiburan, M Pop di TV3 sejak Oktober lalu.

"Setakat ini, selesa jugalah jadi pengacara. Walaupun ia pengalaman baharu, tetapi saya masih boleh menggalasnya dengan baik dan dalam proses belajar lagi.

"Bagaimanapun, saya gembira melakukannya (mengacara) dan berharap boleh pergi lebih jauh dalam bidang ini. Pada saya, sekarang kena berani mencuba setiap peluang yang datang dan rezeki jangan ditolak," katanya.

Menurut Sarah lagi, selepas terbabit dalam pengacaraan, dia menyimpan impian semoga suatu hari nanti dapat peluang berganding dengan rakannya, penyanyi Sissy Imann di pentas acara yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:00 AM