MUNA mula menjalani tugas yang tertangguh sejak pelaksanaan PKP.
MUNA mula menjalani tugas yang tertangguh sejak pelaksanaan PKP.
Norhayati Nordin

MESKIPUN pada awal kemunculan pada 2014 lalu, penyanyi Muna Shahirah berasa seperti tiada peluang untuk dirinya memahat bakat dan nama dalam bidang nyanyian, kini segalanya berubah.

Hampir enam tahun sabar melalui onak liku dalam perjuangan untuk kerjaya seni, Muna, 26, akur rezeki masih ada dan perancangan Allah itu adalah terbaik.

Rancak mengatur langkah untuk mengukuhkan semula kerjaya nyanyian, Muna berkata, dia sangat menyambut baik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan sejak 10 Jun lalu hingga 31 Ogos ini.

"Alhamdulillah, selepas berbulan-bulan saya harus 'bercuti seketika' bersama keluarga di Johor disebabkan penularan Covid-19, sekarang tiba masa untuk memulakan kembali kerja yang banyak tertangguh.

"Sebaik sahaja kerajaan umumkan kebenaran boleh merentas negeri, saya tidak tunggu lama untuk balik ke Kuala Lumpur bagi meneruskan semula aktiviti seni.

"Apatah lagi, saya perlu menjalani proses rakaman lagu duet yang sepatutnya sudah dirakam sekitar April lalu. Saya diberi peluang berduet dengan penyanyi Zek Zakwan untuk lagu berkenaan," katanya.

Mengulas judul lagu duet itu, Muna atau nama sebenar Muna Shahirah Munadi berkata, dia belum mengetahuinya dan hanya menyiapkan proses rakaman dahulu.

Ditanya mengenai hubungan cinta, Muna berkata, buat masa sekarang dia memilih mahu fokus dan memantapkan kerjaya seni dahulu meskipun sedar usia kian meningkat.

"Saya tahu apabila umur sudah mencecah 26 tahun, sangat sesuai untuk bercinta termasuk mendirikan rumah tangga. Cuma, untuk saya sekarang biarlah ditumpukan pada memantapkan kerjaya.

"Ditambah, saya pernah beberapa kali gagal dalam percintaan. Mungkin, ketika itu saya bertemu lelaki yang salah. Jadi, pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk berhati-hati.

"Lagi pun, saya yakin kalau ada jodoh pasti tidak ke mana. Tetapi, kini saya mahu beri segala komitmen pada kerjaya. Perjalanan saya baru bermula dan masih banyak pencapaian harus dikejar," katanya.

MUNA mahu fokus mantapkan kerjaya seni dahulu sebelum fikir soal jodoh.
MUNA mahu fokus mantapkan kerjaya seni dahulu sebelum fikir soal jodoh.

Enggan terburu-buru soal cinta, Muna berkata, biar masa yang menentukan. Apapun, katanya dia lebih bersemangat untuk mengorak langkah dalam kerjaya sehingga berjaya menggenggam apa yang diimpikan.

Menerima sokongan padu keluarga terutama ibu bapa, Muna berkata, dia turut rasa bertuah dapat bernaung sebagai penyanyi rakaman bersama FMC Music. Katanya, selama tiga tahun ini dia sudah merakam lima lagu merangkumi penampilan solo, lagu hari raya dan duet.

"Melihatkan pada graf peningkatan kerjaya seni saya, tak dinafikan nama serta bakat makin dikenali ramai. Berbanding dahulu, Instagram saya hanya mempunyai 10,000 pengikut dan kini jumlah itu sudah bertambah.

"Begitu juga dengan saluran YouTube saya dahulu, hanya ditonton sekitar 600 orang sahaja. Namun, sekarang platform media sosial dan digital saya semakin jadi perhatian. Terima kasih kepada pengikut dan pelanggan di atas sokongan diberi," katanya.

Terdahulu, Muna pernah menyertai Akademi Fantasia 2014, tetapi dia tersingkir pada minggu keempat program pencarian bakat nyanyian popular itu. Selepas perjalanannya terhenti, Muna meneruskan pengajian ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Matematik dan Ekonomi.

Impak besar lagu Teguh Setia

Pernah melonjak dengan lagu Teguh Setia pada tahun lalu, Muna juga sempat tampil dengan lagu solo baharu, Suratan Luka sekitar lima bulan lalu.

Pun begitu, impak lagu Suratan Luka nyata tidak berjaya menandingi lagu Teguh Setia. Hingga kini, boleh dikata kebanyakan peminat Muna masih lagi memilih lagu Teguh Setia sebagai pilihan utama mereka.

"Mungkin juga peminat melihat vokal saya lebih serasi dengan susunan muzik pada lagu Teguh Setia. Jadi, apabila saya cuba buat kelainan pada lagu Suratan Luka, impaknya tidak begitu menyerlah.

"Apapun, saya terima dengan positif penerimaan peminat itu. Bagi saya, lagu Suratan Luka bukan tidak bagus tetapi tuah lebih berpihak untuk Teguh Setia. Ini kerana, ramai peminat 'tak move on' lagi dengan lagu berkenaan.

"Bagaimanapun, terima kasih terus menyokong kerjaya seni saya. Walaupun, perjalanan untuk saya mengecap kejayaan masih jauh tetapi saya sentiasa optimis dan terus berusaha," katanya.

Muna yang semakin hari namanya menjadi bualan dalam industri muzik tempatan, mengakui dia sentiasa melihat bakat dirinya ada potensi menjadi pelapis penyanyi yang berjaya suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 6:00 AM