AFIEQ dan Muna harap lagu Cinta Hanya Buatan diterima baik peminat.
AFIEQ dan Muna harap lagu Cinta Hanya Buatan diterima baik peminat.
Sudirman Mohd Tahir


LAGU Bagaimana yang menampilkan duet penyanyi Muna Shahirah dan Zack Zakwan berjaya melangkah ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 36 yang lalu. Tidak dinafikan, lagu itu berjaya memperkenalkan nama dua penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music.

Terbaharu, Muna muncul pula dengan lagu berjudul Cinta Hanya Buatan yang mana pertama berduet dengan penyanyi Afieq Shazwan. Seperti ramai tahu, Afieq sebelum ini pernah merakamkan semula beberapa lagu popular era 80-an dan 90-an bersama Tajul.

Muna, 28, atau nama sebenarnya Shahirah Munadi berkata, lagu ciptaan Ibnu dan lirik oleh Gouffran itu disifatkan projek yang cukup istimewa selain berharap ia dapat mencipta magis seperti single duet sebelum ini.

"Sebelum ini dua lagu saya hanya sampai ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik, jadi kali ini saya berharap tuah dan kejayaan lagu ini membawa saya untuk menjejakkan kaki ke pentas keramat penggiat seni hiburan dan lagu tanah air iaitu Anugerah Juara Lagu.

"Biar orang nak kata apa kerana bagi saya sebagai penyanyi kita perlu meletakkan satu sasaran dalam kerja dan lagu kita. Malah saya yakin jika lagu ini memiliki kualiti tersendiri dan boleh pergi jauh," katanya.

Mengenai kerjasama dengan Afieq, Muna berkata, penyanyi lagu Lelaki Di Telefon itu seorang yang mudah dibawa berbincang dan membantu dalam banyak perkara.

"Terus terang dikatakan, saya senang dan gembira dapat bekerjasama dengan Afieq. Sebab dia seorang yang mudah dan memberikan 100 peratus komitmen dalam kerja. Dia juga pandai membantu dalam mendapatkan emosi saya ketika proses rakaman lagu dan muzik video. Dalam masa sama, Afieq pula makin 'charming' sekarang ni.

PROJEK sulung Muna dan Afieq menerusi lagu Cinta Hanya Buatan.
PROJEK sulung Muna dan Afieq menerusi lagu Cinta Hanya Buatan.

"Apa boleh dikatakan, lagu Cinta Hanya Buatan ini adalah lagu projek paling lama untuk kami siapkan. Dari segi muzik, vokal dan muzik video semuanya mengambil masa enam bulan untuk disiapkan," katanya.

Sementara itu, Afieq, 25, atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, lagu duet bergenre balada kembali menjadi fenomena, sekali gus menganggap kerjasama dengan Muna tepat pada waktunya.

"Percaturan lagu duet dan balada kini kembali menjadi fenomena. Sekarang ramai pendengar muda dan remaja sukakan lagu jiwang dan mudah untuk dinyanyikan semula terutama di karaoke.

"Saya lihat sendiri perubahannya apabila saya mula merakamkan semula lagu Malam Semakin Dingin versi duet dengan Tajul. Ketika dilancarkan sambutannya sangat luar biasa. Jadi, saya percaya tempias itu dapat pada lagu Cinta Hanya Buatan ini juga," katanya.

Afieq yang juga pelakon drama Rampas Cintaku memohon maaf kepada Muna kerana sabar menanti bagi menyiapkan projek lagu itu disebabkan jadual kerjanya yang padat.

"Lagu duet ini paling lama untuk disiapkan, tetapi saya puas hati. Bagi saya ia satu penantian yang berbaloi. Saya juga nak mohon maaf kepada Muna kerana terpaksa bersabar untuk menyiapkan lagu ini disebabkan kekangan jadual kerja saya yang agak padat.

"Apa pun, alhamdulillah lagu ini sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital muzik. Saya berharap peminat menerima buah tangan lagu terbaharu daripada saya dan Muna. Menariknya, single kali ini bukan lagu nyanyian semula. Ia adalah lagu baharu daripada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 6:45 AM