SERIUS dalam nyanyian, Muna akui enggan lepaskan peluang.
SERIUS dalam nyanyian, Muna akui enggan lepaskan peluang.
Norhayati Nordin

MELIHAT rakan lain muncul dengan lagu baharu, penyanyi Muna Shahirah, 26, juga tidak berdiam diri dan kini hadir dengan karya lagu berjudul Bagaimana.

Pernah popular dengan lagu solo seperti Takdir Cinta, Teguh Setia dan Suratan Luka, Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi kali ini tampil berduet.

Merakamkan lagu Bagaimana bersama rakan penyanyi dikenali Zack Zakwan, harapan Muna semestinya mahu kemunculan duet itu diterima baik pendengar dan peminat masing-masing.

Ujar Muna, dia sudah memberi yang terbaik untuk lagu Bagaimana dan setakat ini sambutan diterima sangat memuaskan. Katanya, gementar juga ketika melancarkan lagu itu pada 23 Oktober lalu.

"Maklum sahaja, pada ketika ini situasi negara masih lagi berdepan dugaan untuk memutuskan rantaian Covid-19. Segala aktiviti agak terhad kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun, kelangsungan pekerjaan saya sebagai penggiat seni harus dilakukan dan saya teruja mendapat peluang untuk melancarkan lagu duet, Bagaimana ini.

"Pada saya, tidak wajar melepaskan peluang kerana hiburan masih tetap diperlukan orang ramai. Apapun, untuk saya sendiri memang suka dan sudah tertarik dengan melodi serta lirik lagu Bagaimana," katanya.

Mengakui dia menggemari genre balada, Muna sangat berbesar hati apabila dapat menyanyikan karya lagu ciptaan bersama komposer Gouffran dan Sang Hitam itu.

"Bekerjasama dengan Gouffran dan Sang Hitam untuk lagu Bagaimana ini tentunya memberi pengalaman baharu. Apapun, saya berterima kasih kepada mereka kerana dapat menyanyikan lagu ini.

"Alhamdulillah, proses rakaman lagu juga berjalan lancar dan paling utama ia kena dengan jiwa saya. Lagu Bagaimana ini cukup dekat di hati saya, termasuk siapa yang mendengarnya.

"Saya juga gembira lagu ini sudah disiarkan radio dan tersenarai dalam carta popular hujung minggu. Terima kasih kepada peminat yang menyokong lagu ini," katanya.

MUNA Shahirah, tampil dengan lagu duet bersama Zack Zakwan berjudul Bagaimana.
MUNA Shahirah, tampil dengan lagu duet bersama Zack Zakwan berjudul Bagaimana.

Selesa bekerja dengan Zack dan mereka juga mudah berbincang membuatkan Muna tidak perlu masa lama untuk mendaparkan 'mood' lagu berkenaan.

"Saya dan Zack, kami di bawah syarikat rakaman sama iaitu FMC Music. Jadi bila tahu rakan duet ialah Zack, saya percaya kami pasti boleh bekerjasama dengan baik.

"Lagipun, peluang merakamkan lagu duet pada saya harus dihargai. Ditambah, saya serius menceburi bidang nyanyian dan mahu berjaya seperti penyanyi lain," katanya.

Sehubungan itu, video muzik rasmi lagu Bagaimana yang dilancarkan sejak sebulan lalu di saluran YouTube FMC Music, hingga kini mencatat lebih 239,000 tontonan.

Malah, kebanyakan komen pendengar sangat menyukai lagu Bagaimana ini, selain menyifatkan gandingan Muna dan Zack mantap kerana terserlah keserasian dalam lontaran vokal mereka.

.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:10 AM