PETUGAS kesihatan  lengkap mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan Covid-19 di kawasan kawalan secara pentadbiran di sekitar Pudu. -FOTO BERNAMA
PETUGAS kesihatan lengkap mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan Covid-19 di kawasan kawalan secara pentadbiran di sekitar Pudu. -FOTO BERNAMA
Georgie Joseph

SEJAK kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 4 Mei lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mei hingga 9 Jun ini, sebahagian besar penggiat seni terputus sumber kewangan kerana tidak boleh bekerja.

Permasalahan ini sekali gus menekan mereka untuk meminta kelonggaran bagi memulakan semula kerja produksi selepas hampir dua bulan segala aktiviti penggambaran ditangguh.

Selaku badan yang bertanggungjawab, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sudah mengambil tindakan sewajarnya dan dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan.

Ikuti wawancara pengarah dan juga penerbit SHAHRULEZAD MOHAMEDDIN dan wartawan, GEORGIE JOSEPH bagi mengupas isu ini.


Boleh jelaskan bagaimana produksi filem dan drama terkesan selepas tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dan PKPB?

Sangat terkesan. Hampir 80 peratus tenaga kerja dalam bidang filem dan drama adalah pekerja sambilan.

Oleh itu, sebaik kerja produksi dihentikan, mereka tiada sumber pendapatan disebabkan gaji dibayar mengikut hari atau episod dan bukannya mendapat gaji bulanan.

Sebahagian besar kru, pelakon utama dan pelakon tambahan bergantung kepada projek.

Mereka tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus tidak dapat mengeluarkan wang daripada akaun dua.

Bahkan, ada yang gagal menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) seperti pelakon veteran, Norlia Ghani sedangkan Norlia layak.

Jadi, sekelip mata mereka hilang pendapatan. Bagi kami selaku pembikin drama, apabila drama tergantung, stesen TV tak bayar kami.

Bagaimana kami hendak bayar kru? Atas budi bicara sesetengah penerbit, kami cuba menghulurkan gaji pendahuluan buat mereka, tapi sampai bila?

Lama-kelamaan, penerbit juga akan turut berdepan masalah kewangan.


Bagaimana keadaan penggiat seni memandangkan sumber pendapatan terhenti sementara?

Keadaan mereka boleh dikatakan sangat daif. Ramai kru sudah berkahwin dan ada anak.

Sekurang-kurangnya jika waktu penggambaran, mereka dapat makanan percuma disediakan pihak produksi dan jika tak habis, mereka boleh bawa makanan itu balik rumah.

Apabila tiada penggambaran, timbul kesukaran mencari sesuap nasi untuk seisi rumah.

SHAHRULEZAD MOHAMEDDIN
SHAHRULEZAD MOHAMEDDIN

Sejauh mana perbincangan sudah dibuat bersama Finas sendiri untuk menangani kemelut ini? Ada inisiatif untuk mereka mempercepatkan bidang produksi dibenarkan bekerja semula?

Setakat ini, tiada apa-apa lagi perbincangan dibuat bersama Finas serta persatuan lain termasuk Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Penerbit Malaysia (PVTM).

Kebelakangan ini, penggiat seni daripada pelbagai peringkat, baik penerbit, pengarah dan pelakon mula 'bising'.

Kami tidak dipanggil langsung untuk sebarang perbincangan, persidangan video atau apa-apa. Tiba-tiba, semua senyap.

Daripada PKP1 hingga PKP4, kami terus tertunggu-tunggu perkembangan terbaharu daripada Finas.

Sehinggalah baru-baru ini, kami menerima siaran media daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bahawa mereka dalam proses mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP).

Sekurang-kurangnya, berita itu menggembirakan walaupun agak lambat.

Ada wakil kami cuba mendapatkan kepastian Finas namun jawapan diberi memang mengecewakan.

Kami cuma diberitahu memang tidak dibenarkan buat penggambaran langsung dan terus duduk rumah.


Apa inisiatif diambil penggiat seni seperti anda untuk memastikan industri filem dan produksi dapat bertahan buat masa ini?

Mungkin kerajaan boleh sediakan soft-loan untuk syarikat produksi atau penerbit bagi kekal bertahan dan mulakan kerja produksi semula.

Kami pun parah juga kerana perlu bayar hutang bank, sewa pejabat, sewa peralatan penggambaran dan gaji kakitangan.

Walaupun segalanya ditangguhkan, bayaran setiap aspek itu tetap berjalan juga.

Kewangan daripada pihak penerbit dan produksi pun semakin susut.

Andai kata ada pakej rangsangan hidup daripada kerajaan, mungkin lebih baiklah.

Setakat ini tiada apa-apa lagi dan harap pakej sebegitu boleh diberi untuk tujuan sara hidup.


Apa saranan boleh dikemukakan kepada pihak berkaitan bagi membolehkan penggiat seni dapat kembali bekerja?

Saranan saya ialah, kerajaan perlu menetapkan SOP yang terbaik dan membuat pengumuman terlebih awal.

Ini kerana kami juga perlu meneliti setiap butiran hal itu sebelum boleh bersedia kembali ke set penggambaran.

Janganlah buat pengumuman sehari sebelum kami dibenarkan untuk bekerja semula.


Bagaimana anda melihat corak kerja dalam bidang ini selepas diberi kelonggaran bekerja semula? Kesan Covid-19 pasti membuatkan banyak hal perlu dipertimbangkan.

Semestinya corak kerja sedikit berbeza. Kami perlu bergantung kepada SOP ditetapkan kerajaan.

Mungkin masa penggambaran dipendekkan, jumlah kru dikurangkan atau lain-lain.

Hal itu tidak dapat digambarkan sekarang.

Yang pasti memang akan ada perubahan. Mungkin mula-mula akan jadi sedikit kekok untuk proses penyesuaian.


Perancangan yang sudah disusun bagi mematuhi SOP sekiranya dibenarkan menjalankan penggambaran atau aktiviti produksi lain selepas ini?

Kami tidak boleh menyusun perancangan bagaimana jalankan penggambaran selepas ini selagi belum mendapat SOP rasmi.

Kami mohon Finas beri kenyataan dan perkembangan apa yang perlu kami buat. Isunya sekarang, semua pihak tertanya-tanya termasuk stesen televisyen dan penggiat seni.

Kalau kami sudah tahu hala tuju dan butiran yang lengkap, dari situ kami boleh merancang.

Contoh bahagian skrip, adakah kami perlu rombak atau boleh kekalkan ikut skrip asal? Semuanya masih kabur untuk kami.


Kesan Covid-19 kepada hala tuju perfileman negara?

Ia bergantung kepada semua pihak. Baik kerajaan, agensi di bawah kerajaan dan penggiat filem dan drama sendiri.

Yang pasti, orang masih perlukan hiburan walaupun dalam keadaan getir begini.

Stesen televisyen juga masih perlukan kandungan hiburan.

Mungkin perniagaan seperti panggung wayang akan ada masalah, namun tidak bermakna orang tidak mahu tonton filem.

Orang masih akan menontonnya, namun mungkin menerusi platform yang berbeza.


Apa harapan anda mewakili keseluruhan penggiat seni mengenai permasalahan yang dihadapi dalam industri seni gara-gara PKP?

Saya mohon satu saja iaitu kerajaan atau Finas supaya tidak abaikan kami.

Walaupun kami bukan industri penting atau utama, kandungan hiburan adalah sangat diperlukan sebagai escapism daripada kerisauan situasi sekarang.

Oleh itu, kami juga ada peranan tersendiri supaya rakyat terus bergerak ke hadapan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 6:40 AM