KUZA ketika majlis pelancaran produk penjagaan kulit Ali Zahraa "MADEENA" dan lagu "Kembara Nabawi" Pelita Lusoh di Grand Millenium, kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUZA ketika majlis pelancaran produk penjagaan kulit Ali Zahraa "MADEENA" dan lagu "Kembara Nabawi" Pelita Lusoh di Grand Millenium, kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON berpengalaman Kuza, 47, akhirnya membuka mulut mengesahkan status dirinya kini seorang ibu tunggal.

Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Muzani ketika ditemui berkata, dia dan bekas suami, Ramyus Sidique sudah berpisah sejak setahun lalu.

"Saya sebenarnya tak suka berkongsi kisah peribadi dan kalau boleh biarlah hanya berkenaan karier sahaja kepada masyarakat.

"Bagaimanapun saya akui kini berstatus ibu tunggal dan rumah tangga dengan Ramyus hanya bertahan selama 12 tahun. Itu sahaja yang boleh diberitahu kepada semua," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk Ali Zahra Madeena di Kuala Lumpur, semalam.

Perkahwinannya dengan Ramyus pada 2007 tidak dikurniakan anak. Pelakon yang pernah membintangi beberapa filem iaitu Shakila, Balada dan Tanda Putera ini bagaimanapun mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nizam Firdaus, 26; Puteri Nazihah, 25; dan Puteri Nadia, 15.

Pelakon kelahiran Kelantan ini enggan mendedahkan punca perceraian kerana menganggap terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum.

"Kisah peribadi sesuatu yang sangat privasi. Kalau saya rasa perlu atau sudah tiba masa untuk berkongsi, saya akan kongsi. Kalau saya rasa tak perlu, lebih baik saya simpan sendiri. Anak-anak saya pun perlukan privasi. Jadi, saya perlu hormat mereka juga," katanya.

Adik kepada pelakon Kuna Muzani ini baru sahaja selesai penggambaran drama berjudul Pelangi Hati. "Syukurlah saya masih diterima oleh industri hiburan dan peminat. Tak dinafikan tawaran untuk berlakon sekarang dipengaruhi oleh jumlah pengikut di Instagram.

"Tapi kalau dulu, bakat dan disiplin yang ditekankan pada seseorang pelakon. Inilah yang saya amalkan. Pelakon sekarang yang rasa popular kerana pengikutnya ramai tapi kalau tiada bakat dan disiplin pun susah juga," katanya yang pernah berdepan situasi dengan golongan sebegini.

Dalam pada itu, Kuza turut memanfaatkan tempoh berehat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membuat biskut tart dinamakan nama Yummy Tart hasil resipi ibunya.

"Ramai yang beri respon positif dan saya merancang mengembangkannya sebagai perniagaan tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 4:13 PM