Puteri Aishah.
Puteri Aishah.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Sejak berkahwin pada November tahun lalu, pelakon Puteri Aishah, 28, dan suaminya Muhammad Firdaus, 29, bertalu-talu menerima 'friend request' di media sosial terutama Instagram.

Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman berkata, suaminya paling terkejut apabila ada peminat menghantar mesej dan dan mendesak meminta segera 'approve' (diluluskan).

"Sebenarnya sejak bernikah, sudah terlalu ramai cuba ikuti akaunnya walaupun ia ditetapkan 'private'. Suami kata, pertama kali telefon bimbitnya mati mengejut disebabkan terima terlalu banyak notifikasi.

"Tapi dia tak 'approve' kerana dia memang pentingkan privasi. Kadang-kadang hantaran saya pun dia suruh padam kerana tak suka terdedah sangat dalam media sosial.

"Kalau anda 'follow' (ikuti) dia pun, hantaran terakhirnya adalah sewaktu kami kahwin. Kalau sebelum kahwin, hantaran terakhirnya pada 2018. Bayangkan dia memang tak 'update' (kemas kini) pun," katanya.

Pelakon filem Pulang itu berkata, suaminya memang seorang yang peramah jika bertemu secara peribadi.

"Dia okey saja dan 'friendly' kalau jumpa depan-depan, cuma di media sosial saja dia tidak berapa 'mesra'. Sampai dia buka 'inbox', dia kata orang paksa dia 'approve'.

"Dia pelik orang DM (mesej langsung) marahkan dia suruh dan cakap susah sangatkah dia nak 'approve'. Saya cakap perkara itu normal sebab saya pun sudah terbiasa," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Demi baru-baru ini.

Puteri Aishah adalah pelakon utama dalam drama arahan Rahila Ali itu bersama Keith Foo.

Bercerita mengenai drama itu, Puteri Aishah yang melakonkan watak Suraya mengakui tugas itu cukup berat. "Berat sebab Suraya adalah mangsa deraan suaminya terutama dari segi mental. Cerita ini pun berdasarkan kisah benar, macamana dia didera, lari balik kepada ibu bapanya, teruskan hidup dan tangani trauma.

"Rasanya hari-hari ada babak menangis. Mangsa sebenar Suraya itu pun ada datang set penggambaran. Dia ceritalah bagaimana dia bawa anak lari dari Scotland ke Malaysia sorok-sorok. Ngeri saya dengar," katanya.

Drama terbitan Elisa Vision Sdn Bhd itu mula ditayangkan pada 10 Ogos lalu setiap Selasa hingga Jumaat, jam 9 malam. Selain Puteri, ia turut dibintangi Ashraf Muslim, Ika Nabela, Puteri Rayyana Rayqa, Datuk Jalaluddin Hassan, Safura Ya'cob, Riz Amin, Hasnul Rahmat, Aznah Hamid, Esma Daniel, Sahronizam Noor, Shafiq Sahli, Tania Hudson, Safwan Nazri dan Undaleeb Qazi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 12:15 PM