Diana Rafar, Zamarul Hisham menang kes mahkamah.
Diana Rafar, Zamarul Hisham menang kes mahkamah.
Sudirman Mohd Tahir


MAHKAMAH Majistret Shah Alam menolak tuntutan saman daripada syarikat perkhidmatan borong barangan China terhadap pasangan suami isteri pelakon, Zamarul Hisham dan Diana Rafar, hari ini.

Tuntutan yang dibuat pada 27 Februari lalu itu mendakwa pasangan suami isteri terbabit melanggar perjanjian dari segi komitmen pemasaran di Instagram yang dipersetujui tahun lalu.

Zamarul dan Diana yang tidak diwakili peguam melalui dua prosiding iaitu pada 15 Mei dan 12 Jun lalu.

Diana ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dan menganggap keputusan mahkamah itu adil bagi pihak dirinya dan suami.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dan berkat hari Jumaat keputusan berpihak kepada kami. Lega apabila ia selesai juga.

"Sebelum ini kami cuba nak berunding secara baik, tapi pihak berkenaan tetap nak bawa ke mahkamah dan membuat tuntutan ganti rugi juga seolah-olah kami tidak buat kerja.

"Jadi, demi menegakkan kebenaran kami pun lawan. Kalau ikutkan selepas kes ini, kami boleh juga buat tuntutan balik sebab di Instagram masih ada lagi hantaran mengenai produk mereka dan mereka juga masih gunakan lagi gambar kami. Tapi, kami tidak panjangkan isu," katanya kepada Harian Metro.

Diana berkata, kemenangan itu sekali gus ingin memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang bekerjasama dengan artis atau selebriti supaya tidak sewenang-wenangnya mengheret ke mahkamah.

"Dari awal lagi sudah terangkan komitmen kerja dan harga kami, tapi kenapa masih nak ambil kesempatan dan siap minta bayar balik. Sedangkan apa yang kami sudah buat lebih daripada sepatutnya jika mengikut harga sebenar.

"Jadi, kesi ini kami nak bagi kefahaman kepada orang lain supaya faham tugas artis yang sudah menjalankan tanggungjawab. Jangan sesuka hati heret artis ke mahkamah," katanya.

Menurut Diana, dia dan suami akan lebih berhati-hati menerima tawaran daripada mana-mana syarikat selepas ini.

"Selepas ini kami akan lebih berhati-hati untuk menerima tawaran supaya tiada orang ambil kesempatan atas kebaikan untuk hulurkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 4:39 PM